Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda PAS mendesak Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali memanggil segera kedua-dua ADUN yang dilapor memberikan sokongan kepada Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor hari ini.

Ketua dewan itu Suhaizan Kaiat berkata, tindakan itu perlu diambil untuk mendapat penjelasan yang sebenar.

Mustafa ( kanan ) pula di Facebook hanya menulis “Bercanggah dengan pendirian parti. Siasatan akan dibuat terlebih dahulu…” tanpa menyatakan konteksnya.

Ia dipercayai merujuk kepada sokongan dua anggota dewan undangan negerinya kepada Azizah, iaitu Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib).

Saari dan Hasnul hari ini tampil menyatakan sokongan terhadap Azizah sebagai menteri besar walaupun PAS hanya akan memutuskan pendirian rasmi mereka dalam mesyuarat jawatankuasa pusatnya 17 Ogos ini.

Saari berkata, mereka berbuat demikian kerana “dasar PAS yang bersama-sama Pakatan Rakyat" dan beliau juga yakin mesyuarat ahli penting PAS minggu Akan ini akan memutuskan terus bersama PKR dan DAP.

Nasrudin anggap 'budaya ugutan'

Selain itu, anggota jawatankuasa Pusat PAS, Nasrudin Hassan menganggap tindakan dua ADUN itu sebagai ugutan terhadap parti.

Beliau memuat naik gambar rakaman paparan ( screenshot ) di laman Facebooknya yang bertajuk “ADUN keluar parti jika PAS terus sokong MB” dengan kapsyen dengan doa agar PAS diselamatkan daripada pihak yang ingin merosakkan parti.

"Budaya politik ugut sudah merebak masuk dalam PAS. Apakah proses penyaringan sedang berlaku secara nature (semula jadi)?

"Semoga Allah selamatkan jemaah ini dari mereka yang ada hasrat merosakkannya.

"Jua Allah memberi kekuatan dan petunjuk kepada pemimpin jemaah ini agar dapat memimpin dengan baik. Ameen Ya Rabbal A'lamin ," kata Nasrudin ( atas ) yang juga bekas ketua Pemuda PAS.

Saari: Saya pasti akan dipanggil

Sementara itu, Saari berkata, beliau bersedia sekiranya dipanggil menjelaskan kehadirannya hari ini kerana yakin mempunyai hujah kukuh.

"Saya pasti saya akan dipanggil. Saya nak jelaskan, saya ada hujah saya dan saya berani kemukakan hujah saya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun, ketika ditanya kembali berhubung kesediannya keluar parti, Saari ( kanan ) berkata:

"Saya tidak akan keluar PAS dan akan terus berjuang bersama Pakatan," tambahnya.

Bagi Hasnul pula, beliau yakin beberapa pimpinan PAS akan membelanya sekiranya siasatan dibuat terhadapnya.

"Saya serahkan kepada PAS Pusat untuk buat pertimbangan kerana ramai pimpinan PAS Pusat akan beri pandangan untuk membela saya," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS