Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan Pergerakan Wanita Umno agar satu lagi kerusi naib

presiden diwujudkan untuk diisi oleh sayap berkenaan wajar dipertimbang dan dikemuka kepada jawatankuasa pengurusan.

"Cadangan itu seterusnya dikemukakan kepada mesyuarat Majlis Tertinggi dan perlu diputuskan dalam Perhimpunan Agung Umno, yang merupakan badan tertinggi.

"Saya harap cadangan ini dibawa secara rasmi dan saya sedia menyokong cadangan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh.

Baru-baru ini, perwakilan Wanita Umno dilaporkan membuat permintaan supaya diwujudkan satu lagi kerusi naib presiden untuk disandang oleh wakil sayap parti itu dan ia dikatakan menjadi topik perbincangan pada mesyuarat Umno bahagian yang sedang berjalan, terutama di peringkat sayap Pergerakan Wanita.

Umno kini mempunyai tiga naib presiden.

    

Di Kuala Lumpur, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata cadangan itu masih di peringkat perbincangan.

"Kita serahkan kepada Pergerakan Wanita, biar mereka bentangkan perkara ini, kita memang ada bincangkan dalam mesyuarat Majlis Tetinggi sebelum ini namun tidak ada konklusi.

"Kita lihatlah nanti bagaimana," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bukit Bintang.

-- Bernama

Lihat Komen
ADS