Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dengan barisan atlet terhebat dunia beraksi di temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) kali kedua, ia tidak mematahkan semangat atlet lompat kijang pelapis negara, Kirthana Ramasamy untuk berusaha membawa pulang pingat dan mengelak daripada 'bungkus awal'.

Kirthana yang akan memulakan aksi pada peringkat awal di Stadium utama, Pusat Sukan Olimpik Nanjing, Jumaat ini berkata beliau bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran itu dan akan berusaha keras bagi melayakkan diri ke peringkat suku akhir terlebih dahulu.

"Jika sudah layak ke suku akhir maka baru ada pelung untuk ke separuh akhir dan seterusnya meraih pingat," katanya kepada Bernama hari ini.

Pemenang pingat emas dengan catatan lompatan sejauh 13.06m di Kejohanan Olahraga Kelayakan Asia di Thamassat, Thailand, Mei lepas itu berkata beliau tidak berani meletakkan sasaran yang lebih tinggi daripada mara ke suku akhir kerana bimbang tidak mencapai sasaran tersebut.

"Catatan peribadi terbaik saya ialah 13.06m dan berharap mampu memperbaiki lompatan sama ada 13.08m atau 13.10m pada Jumaat ini," katanya.

Atlet yang bakal menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini berkata walaupun tidak berani meletakkan sasaran tinggi beliau bercita-cita untuk meraih pingat emas di YOG 2014.

"Sudah pasti impian semua atlet adalah meraih pingat emas kerana ia adalah kayu ukur bagi menilai tahap pencapaian bagi seseorang atlet tidak kira dalam acara sukan mana sekalipun," katanya.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan 'Kirth' oleh rakan-rakan sepasukan berkata pengalaman beraksi di YOG 2014 akan dijadikan bekalan penting bagi dirinya untuk menghadapi kejohanan-kejohanan lain selepas ini.

"Walaupun belum turun padang, banyak perkara baru yang saya dapat pelajari daripada atlet-atlet olahraga lain di Najing dan ia sukar diperoleh dalam kejohanan lain," katanya.

Skuad olahraga negara menghantar tiga wakil ke YOG 2014, selain Kirthana dua lagi atlet olahraga pelapis negara yang mengalas cabaran ke Nanjing ialah Mohd Rizza Haizad yang beraksi dalam acara 110m lari berpagar individu lelaki dan Norshafiee Mohd Shah dalam acara lompat tinggi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS