Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mendapatkan laporan lengkap mengenai penyakit karah padi (perang) yang melanda sawah padi di seluruh negara baru-baru ini.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ( bawah ) berkata ia adalah langkah dan pendekatan terbaik untuk membantu petani terlibat mengatasi bebanan dan kerugian akibat serangan penyakit tersebut.

Beliau berkata pada masa kini, kakitangan kementerian melalui jabatan pertanian dan jabatan berkaitan sedang mengumpul data serta maklumat terperinci dan menyeluruh termasuk jumlah keluasan, kerugian dan jumlah petani yang terlibat untuk diambil tindakan lanjut.

"Kita belum lagi mempunyai maklumat terperinci dan tepat dan berdasarkan maklumat awal, jumlah yang terjejas tidaklah besar sangat dan tidak melibatkan keseluruhan petani.

"Oleh itu sebarang bentuk bantuan belum dapat diputuskan kerana kita perlu menunggu laporan lengkap dan melihat cadangan bagi mengatasi masalah itu," katanya pemberita pada majlis penutupan program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Bera hari ini.

Yang turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Kemayan, Datuk Mohd Fadil Osman dan Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Seri Ismail Ahmad.

Pada majlis itu sebanyak 420 peserta yang terdiri daripada individu berusia 45 tahun atas menerima lesen memandu.

Ismail Sabri berkata kerajaan Barisan Nasional prihatin dengan nasib yang menimpa petani dan sentiasa berusaha secara berterusan bagi membantu golongan itu agar mereka tidak terus menanggung kesusahan dan menderita.

Katanya meskipun ia tidak membabitkan jumlah kawasan yang luas, namun penyakit karah padi dikesan turut berlaku di negeri jelapang padi iaitu Kedah.

"Walaupun ia tidak banyak, bagaimanapun ia turut menjejas pendapatan petani di kawasan berkenaan dan ia tidak menjejaskan pengeluaran padi secara keseluruhan dan masalah ini akan dapat diatasi dengan baik," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS