Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada kritikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, cara Najib mengendalikan tragedi MH17 membuktikan Najib seorang pemimpin yang "berani" berurusan dengan pemisah Ukraine sehingga membolehkan jenazah mangsa tragedi dibawa pulang.

"Kalau Datuk Seri Najib tak buat tindakan berani untuk berdepan dengan pemisah, tak mungkin saya mampu berdiri hari ini untuk uruskan jenazah-jenazah ini," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Jelasnya, pemimpin-pemimpin seperti presiden Amerika Syarikat dan presiden Rusia juga tidak mampu mencontohi keberanian Najib dalam hal itu.

"Tanya sama ada Obama mampu lakukan, tanya sama ada Putin mampu lakukan.

"Kalau itu tak boleh dinilai orang ramai itu amat menyedihkan," katanya.

Hormati, enggan aibkan Dr M

J elasnya lagi, beliau bagaimana pun menghormati pandangan bekas perdana menteri itu walaupun tidak bersetuju dengannya.

"Tun Mahathir tak pernah lokek dengan pandangan dan teguran tapi ini tak bermakna kita setuju dengan apa yang diluahkannya.

"Pada masa sama saya tak nak aibkan pandangan Tun Mahathir kerana dari dulu lagi beliau ada pendirian dan pandangannya sendiri," kata Hisham pada sidang media di Kementerian Pertahanan tengah hari ini.

Mahathir ( kiri ) dalam tulisan terbaru di blognya menarik balik sokongannya kepada Najib selama ini kerana Najib dilihat berlembut dalam isu-isu yang kritikal.

Hari berkabung

Hisham yang juga naib presiden Umno memberikan ulasan tersebut sewaktu menjawab soalan wartawan pada sidang media selepas bertemu editor-editor kanan akhbar berhubung istiadat penghormatan jenazah MH17.

Istiadat tersebut akan berlangsung pada 22 Ogos, Jumaat ini.

Dalam kenyataannya, Hishammuddin berkata hari tersebut adalah Hari Berkabung Malaysia dan seluruh rakyat digesa berdoa dan bertafakur secara serentak selama dua minit di seluruh negara.

"Kita akan berdoa sebaik sahaja jenazah MH17 dimasukkan dalam kenderaan jenazah iaitu antara jam 10.30 pagi hingga 11.30 pagi pada hari tersebut," kenyataan beliau dipetik.

Istiadat tersebut akan melibatkan 16 mayat - enam jenazah beragama Islam dan sepuluh lagi bukan Islam.

Lihat Komen
ADS