Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Nurul saman Utusan diselesai luar mahkamah
Diterbitkan:  Aug 20, 2014 1:41 PM
Dikemaskini: 6:35 AM

Kes saman fitnah anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar terhadap Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Abdul Aziz Ishak dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berhubung kebebasan beragama orang Melayu selesai hari ini apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah.

    

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng merekodkan penghakiman persetujuan di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Wan Azmir Wan Majid, yang mewakili Abdul Aziz dan Utusan dan peguam Azhana Mohd Khairuddin mewakili Nurul Izzah.

    

Wan Azmir memberitahu pemberita bahawa plaintif dan defendan bersetuju menyelesaikan kes itu tanpa pengakuan liabiliti.

    

"Kedua-dua pihak juga bersetuju menyelesaikan kes itu di luar mahkamah berdasarkan terma-terma yang telah dipersetujui oleh mereka," katanya sambil menambah kos guaman masing-masing ditanggung oleh plaintif dan defendan.

    

Nurul Izzah selaku plaintif dan Abdul Aziz selaku defendan tidak hadir pada prosiding hari ini.

Sebelum ini, mahkamah mencadangkan supaya kes itu diselesaikan secara mediasi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hasnah Mohamed Hashim, tetapi pada 3 Julai lepas, mereka gagal untuk menyelesaikan kes itu.

Sehubungan itu, Hue kemudian menyarankan supaya kes itu diselesaikan di luar mahkamah dan hari ini kedua-dua pihak bersetuju berbuat demikian.

    

Pada 23 November 2012, Nurul Izzah selaku plaintif memfailkan saman itu dengan mendakwa Abdul Aziz dan Utusan, sebagai defendan pertama dan kedua, memutar belit kenyataannya dalam forum mengenai kebebasan beragama untuk orang Melayu.

    

Menerusi pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah, yang juga naib presiden PKR, mendakwa empat artikel yang mengandungi perkataan fitnah terhadapnya itu diterbitkan akhbar Utusan Malaysia pada 5 dan 7 November 2012.

    

Beliau memohon perintah supaya kedua-dua defendan memohon maaf dan menarik balik tuduhan fitnah terhadapnya dalam masa 24 jam dari tarikh perintah itu, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau dan kos difikirkan sesuai oleh mahkamah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS