Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keluarga tunggu ketibaan 3 jenazah runtuhan
Diterbitkan:  Aug 20, 2014 1:48 PM
Dikemaskini: 5:52 AM

Jenazah ketiga-tiga mangsa runtuhan kejadian blok konkrit landasan projek Mass Rapid Transit (MRT) dijangka diterbangkan ke Bangladesh esok.

    

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp Amir Mahmood Razak berkata kesemua waris dan keluarga mangsa di Bangladesh telah dihubungi dan akan menyambut ketibaan jenazah.

    

"Jenazah mangsa akan diterbangkan esok pagi sebaik saja MRT mendapat kelulusan untuk dibawa pulang ke sana daripada Kedutaan Bangladesh di sini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    

Dalam kejadian malam Isnin lepas, tiga pekerja binaan lelaki warga Bangladesh maut akibat dihempap landasan konkrit seberat 650 tan di tapak projek MRT berhampiran Institut Penyelidikan Getah Malaysia di Kota Damansara pada jam 8.30 malam.

    

Pekerja terbabit ialah Mohamad Faruk Khan, Mohammad Elahi Hossain dan Mohammad Alauddin Mollik.

    

Amir Mahmood berkata pihak pengurusan MRT mengadakan majlis Tahlil malam semalam dan akan mengadakan solat jenazah ghaib esok di kawasan penempatan pekerja MRT, berhampiran dengan kejadian lokasi.

    

"Pihak pengurusan MRT telah diberi tempoh seminggu oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat untuk melengkapkan siasatan dan kini penyiasat daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan turut sama menyiasat punca sebenar kejadian runtuhan konkrit itu," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS