Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP PAS: Tak masuk akal bubar DUN sekarang
Diterbitkan:  Aug 20, 2014 3:38 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

MP Sepang, Hanipa Maidin menolak sebarang usaha untuk membubarkan DUN Selangor bagi membolehkan pilihan raya baru diadakan di negeri itu.

Katanya, cadangan seperti itu “sangat tidak masuk akal” memandangkan majoriti rakyat kini menyokong Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai menteri besar baru.

Menurutnya, dalam senario sekarang, pihak istana Selangor tidak mempunyai pilihan selain merestui presiden PKR itu bagi menggantikan menteri besar sekarang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Jika benar laporan yang menyatakan Tan Sri Khalid berhasrat ingin berjumpa Sultan hatta berjumpa Sultan di luar negara bagi meminta dibubarkan DUN bagi saya tindakan itu tidak sah dan tidak bertanggungjawab.

"Malah, ia sesuatu yang sangat tidak masuk akal di sisi undang-undang dan sistem demokrasi berparlimen ala-Westminster yang diamalkan di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Hanipa, keadaannya berbeza jika Khalid memohon izin menghadap daripada sultan untuk membubarkan DUN sebelum dua ADUN PAS membuat keputusan menyokong Wan Azizah.

2 ADUN mungkin dinobat wira

Jelas Hanipa, pada masa itu keadaan tidak menentu dan perkenan sultan untuk membubarkan DUN adalah sah di sisi undang-undang.

"Meskipun tidak digemari oleh orang orang PAS sendiri dan malahan ada yang melabelkan mereka sebagai pengkhianat, sedikit sebanyak (tindakan itu) membantu Pakatan keluar dari keadaan tidak menentu yang mewajarkan sultan untuk membubarkan DUN.

"Mungkin dua ADUN PAS itu (kanan) yang mungkin dihakimi sebagai pengkhianat parti pada masa ini tidak mustahil akan pula dinobatkan sebagai hero atau wira oleh generasi akan datang," katanya.

Spekulasi pembubaran DUN tersebar meluas apabila Khalid memohon untuk mengadap Sultan Selangor di Budapest.

Permohonan itu bagaimana pun tidak diperkenan oleh baginda.

Menurut Hanipa, satu-satunya pilihan yang ada buat sultan sekarang adalah melantik Wan Azizah sebagai menteri besar.

Berkongsi pendapat sama dengan Hanipa adalah pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari.

"Pembubaran tidak perlu kerana dalam dewan negeri sekarang sudah sedia wujud sebuah kerajaan.

"Maka, tak perlu bubar kerajaan untuk pilihan raya negeri," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Lihat Komen
ADS