Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Wakil rakyat PAS Saari Sungib menjelaskan, kehadirannya pada sidang media bersama Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini bukan untuk menyokong presiden PKR itu sebagai menteri besar Selangor, sebaliknya bertujuan menolak Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun, kata ADUN Hulu Kelang itu, beliau menandatangani akuan berkanun (SD) yang antaranya menyokong Azizah kerana ia sudah didraf awal sedemikian rupa.

"Objektifnya ialah nak nafikan dakwaan Tan Sri Khalid yang mengatakan beliau ada (sokongan) majoriti (ADUN). (Bagaimanapun) sifat undang-undang SD itu berbentuk begitu, iaitu menarik sokongan dari Tan Sri Khalid dan sokong Wan Azizah.

"Bagi saya, Wan Azizah atau tidak, yang penting saya nak cukupkan 30 ADUN (yang tolak Khalid) itu. Oleh kerana (ADUN) DAP dan PKR (sahaja) tak cukup, jadi saya masuk," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Saari sebelum ini hadir dalam sidang media itu bersama seorang lagi ADUN PAS Hasnul Baharuddin (Morib), yang menyebabkan disiasat parti Islam itu kerana membuat pendirian sebelum jawatankuasa pusat PAS bermesyuarat.

Majlis Syura, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul AM PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sebelum ini menyokong Khalid kerana tidak nampak keperluan beliau ditukar.

Keputusan itu bagaimanapun berubah selepas mesyuarat jawatankuasa pusatnya 17 Ogos lalu dan selepas PKR memecat Khalid. PAS kemudian menerima pencalonan Azizah di samping mencalonkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Tindakan terhadap Saari dan Hasnul kini dilapor ditangguhkan sehingga menunggu kemelut pentadbiran negeri itu selesai.

Pengkhianat atau wira?

Sementara itu, terdapat beberapa ahli jawatankuasa (AJK) pusat PAS yang tidak melihat tindakan Saari dan Hasnul sebagai salah secara keseluruhannya atau berniat jahat.

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa antaranya berpendapat tindakan mereka berdua minggu lalu bertujuan mengukuhkan Pakatan negeri walaupun tindakan itu “mungkin betul dan mungkin tidak”.

"Saya tak nyatakan mereka salah atau betul. Saya cuma nak gambarkan betapa sukarnya waktu itu untuk membuat perkiraan demi mengukuhkan Pakatan di peringkat ADUN,” katanya ketika dihubungi kepada Malaysiakini.

"Tetapi itu pun tidak boleh dianggap salah kerana keputusan besarnya ialah bersama (Pakatan). Cuma, cara bagaimana di peringkat ADUN ini bertindak tidak ada pendekatan yang tuntas (menyeluruh).”

Sementara itu, seorang lagi AJK PAS Hanipa Maidin pula semalam berkata, tindakan Saari dan Hasnul sedikit sebanyak membantu Pakatan keluar daripada keadaan tidak menentu yang boleh mendorong sultan membubarkan DUN.

Katanya, walaupun ada yang menganggap mereka “pengkhianat”, tidak mustahil suatu hari nanti generasi akan datang menobatkan mereka sebagai wira.

Lihat Komen
ADS