Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Nama Timbalan Presiden PKR Azmin Ali tidak dibincangkan dalam pertemuan antara Sultan Selangor dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata Exco Hal Ehwal Islam Selangor Sallehen Mukhyi.

Sallehen turut mengesahkan pertemuan antara Sultan Selangor dan  Abdul Hadi yang dilaporkan pada Hari Raya Aidilfitri yang keempat, tidak menyebut nama Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa.

"Nama beliau (Azmin) tidak disebut dalam pertemuan itu," kata beliau kepada Malaysiakini ketika ditemui di Shah Alam hari ini.

Pada Selasa lalu Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat mendedahkan Abdul Hadi dititah menghadap Sultan Selangor.

Hasil pertemuan itu, PAS mencadangkan satu nama alternatif bagi calon menteri besar perlu dikemukakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan melibatkan istana dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Sebelum ini, Sallehen dilapor mendedahkan Istana menolak nama Wan Azizah dan menegaskan PAS tidak setuju dengan beliau bukan disebabkan perempuan, tetapi dimaklumkan Istana tidak memperkenan presiden PKR itu.

Keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada Ahad mencalonkan Azmin menjadi menteri besar di samping calon sedia ada Wan Azizah, bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Majlis Presiden Pakatan Rakyat pada sebelah petangnya bersetuju nama Wan Azizah sebagai satu-satunya nama yang akan dihantar kepada Sultan Selangor selepas Azmin akur keputusan parti dan akuan bersumpah menyokong Wan Azizah sebagai menteri besar.

Sementara itu, Suhaizan hari ini mengeluarkan kenyataan pendek menjelaskan artikelnya pada 19 Ogos yang mendedahkan pertemuan Hadi-sultan itu.

“Saya ingin membetulkan segala tanggapan yang menyatakan bahawa pihak istana Selangor telah menamakan atau memberi isyarat nama Azmin sebagai calon menteri besar Selangor.

“Justeru, sebarang tanggapan berkaitan dengannya adalah tidak benar dan tersasar sama sekali daripada maksud rencana tersebut,” katanya.

Lihat Komen
ADS