Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ongkili yakin projek Langat 2 siap ikut jadual
Diterbitkan:  Aug 22, 2014 7:52 AM
Dikemaskini: 11:57 PM

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yakin projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 akan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

    

Beliau berkata hasil penelitian beliau ketika melawat tapak projek berkenaan, proses pembersihan hutan dan meratakan kawasan tapak pembinaan membabitkan 37 hektar tanah berjalan lancar.

    

"Saya melihat bahawa tapak pembinaan dan persiapan projek kini berjalan dengan lancar, boleh dikatakan sudah 0.7 peratus siap malah kerja tanah dijangka mengambil masa lebih dari 9 bulan untuk disiapkan.

    

"Pada masa yang sama, saya telah diberitahu terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan seperti kelulusan dan permit yang diperlukan untuk projek ini," katanya selepas melawat tapak projek berkenaan di Hulu Langat semalam.

    

Mengulas kenaikan kos projek itu setelah ditangguh hampir lebih empat tahun, Maximus berkata beliau tidak menolak kemungkinan perkara ini disebabkan kos bahan pembinaan yang sudah meningkat.

    

Oleh kerana dalam tempoh lebih empat tahun menunggu, dan Langat 2 baru dapat dimulakan, ada sebahagian pemilik tanah telah menukar status tanah mereka, jadi sedikit sebanyak ia telah menambahkan kos projek namun pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sedang mencari jalan untuk mengatasi perkara ini," katanya.

    

Maximus berkata pihaknya juga sedang menyelesaikan sebahagian lagi proses pengambilan tanah di kawasan itu.    

    

Projek Langat 2, yang tertangguh sejak 2008, dapat diteruskan selepas Selangor bersetuju mengeluarkan kebenaran merancang 'Perintah Pembangunan' selepas menandatangai perjanjian persefahaman antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan pada 26 Februari lepas.

    

Projek itu antara komponen utama Skim Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor bagi merawat 2,260 juta liter sehari (JLH) air mentah dari Sungai Semantan, Pahang ke Sungai Langat dalam memenuhi keperluan permintaan tambahan bekalan di negeri Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya sehingga 2025.

    

Ia dijangka siap sepenuhnya pada 30 April 2017 secara berperingkat dan menelan kos kira-kira RM3 bilion.

    

- Bernama

Lihat Komen
ADS