Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sempurnakanlah jenazah kakakku'
Diterbitkan:  Aug 22, 2014 8:48 AM
Dikemaskini: 1:04 AM

Kesedihan Noorlin Mohd Noor dan Yang Jamaliah tidak dapat disembunyikan dalam menanti ketibaan jenazah Noor Rahimmah untuk disemadikan di Ipoh.

    

Noorlin, 46, berkata jenazah kakaknya akan dibawa ke kediaman keluarga mereka di Kampung Rizab Melayu, Tambun selepas selesai istiadat penghormatan penerimaan jenazah di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah hari ini.

    

Adik bongsu daripada 14 beradik itu berkata persiapan penerimaan dan pengebumian jenazah dibantu oleh kerajaan negeri, dan seluruh anggota keluarga amat berharap jenazah Noor Rahimmah selamat sampai dalam keadaan sempurna.

    

"Jenazah itu sempurna seperti dimaklumkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Kami berdoa setiap kali sujud ketika bulan Ramadan hingga sekarang, sempurnakanlah jenazah kakakku, Ya Allah supaya boleh dibawa pulang dan disemadikan di sini," katanya kepada Bernama di kediaman keluarga beliau di Ipoh.

    

Noorlin berkata kakaknya melahirkan hasrat untuk pulang menyambut Aidilfitri  bersama-sama keluarga selepas lebih 30 tahun berada di luar negara.

    

"Dia nak sangat pulang berhari raya dengan adik-beradik di Ipoh di rumah mak. Jadi kami akan sampaikan hajat dia, bila dia sampai sini, kami akan menyembahyangkan jenazah," katanya.

    

Beliau berkata Allahyarham juga ingin menikmati buah-buahan tempatan seperti rambutan dan manggis serta masakan kampung iaitu sambal, sayur Terung Belanda dan pucuk ubi.

    

"Dia memang penyayang dan bertanggungjawab. Dia macam mak saya selepas mak dan ayah meninggal dunia. Kak Nyah (Noor Rahimmah) terlalu ambil berat mengenai kami adik-beradik, nak dengar suara dia yang kasar pun susah. Dia jarang marah, kalau dia marah, cakap dia pun masih lembut lagi," katanya.

    

Sementara itu, Yang Jamaliah, 67, kakak sulung Allahyarham, tidak dapat menahan sebak apabila bercerita mengenai adiknya.

    

"Kami tahu berita kehilangannya ketika berita kapal terbang terhempas disiarkan di televisyen. Selepas dipastikan, memang adik saya berada di dalam pesawat MH17. Bila kami dapat tahu, kami juga buat tahlil untuk arwah," katanya.

    

Beliau berkata Noor Rahimmah meninggalkan dua anak iaitu Ann Rahimah dan Johan masing-masing berumur 20-an.

    

Noor Rahimah pernah bertugas sebagai setiausaha di Kedutaan Malaysia di Jerman selain penterjemah di Geneva, Switzerland selepas mendirikan rumah tangga dengan Hipo-Litoner, 70-an.

    

Yang Jamilah berkata Allahyarham juga menguasai tiga bahasa asing iaitu Jerman, Perancis dan Sepanyol, katanya.

    

Pengebumian jenazah Noor Rahimmah akan dilakukan di tanah perkuburan milik keluarga mereka di Kampung Masjid Lama, Tambun, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS