Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairy tak mahu terlibat Dr M kritik Najib
Diterbitkan:  Aug 22, 2014 2:45 PM
Dikemaskini: 6:48 AM

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menolak untuk memberi komen mengenai kritikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kerajaan kerana beliau sebelum ini merupakan "musuh nombor satu" Mahathir dan tidak mahu menimbulkan sebarang salah faham.

"Saya buat pendirian tak nak komen sebab saya tak nak berlaku salah faham.

"Daripada dulu lagi saya adalah 'public enemy' nombor satu Dr.

Mahathir," kata Khairy dalam sesi soal jawab Sukarelawan Muda BN di Empire Damansara semalam.

Khairy berkata, beliau tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak dan menyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengetahui sokongan beliau dan pemuda Umno.

Bagaimanapun Khairy berkata kerajaan perlu menilai dan menjawab kembali kritikan terhadap dasar mereka dari Mahathir yang berpengalaman sebagai perdana menteri selama 23 tahun.

Justeru, katanya, kerajaan perlu melihat sama ada teguran itu perlu diikut sebagai penambahbaikan atau perlu dipertahankan.

"Apapun perbezaan antara saya dan dia (Tun Mahathir), dia perdana menteri selama 23 tahun, jadi dia mesti ada pandangan sendiri. Bila dia cakap, kita dengar dan kita terima kritikan.

"Kita berterima kasih kepada beliau (Mahathir) atas kritikannya, tetapi kita tak boleh hanya berterima kasih dan membisu. Ada keperluan menilai isu yang dikritik," tegas Khairy.

Mahathir dilaporkan pada 18 Ogos lalu menarik balik sokongan kepada Najib selepas melihat prestasinya lebih buruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Mahathir berkata, beliau tidak sangka pencapaian Najib dalam pilihan raya umum lalu lebih buruk berbanding Abdullah dan “dasar dan tindakannya juga tidak lebih berkesan” berbanding pendahulunya itu.

Menjawab kritikan

Khairy memberi beberapa contoh kritikan Mahathir yang boleh dijawab kerajaan Najib seperti pemberian Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) dan isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam isu BR1M Khairy berkata pemberian bantuan itu lebih baik dan menjimatkan bagi menggantikan subsidi secara pukal yang terlalu membebankan negara.

Sementara itu dalam isu ISA pula, beliau secara peribadi mempertahankan tindakan memansuhkan akta yang dianggap sudah lapuk itu.

"Dalam ISA, walaupun turut disokong beberapa akar umbi, ia salah satu undang-undang lapuk.

"Ini pembaharuan kita perlu pertahankan. Apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir pada zamannya, ia OK, tetapi kita kena jawab untuk zaman kita," kata beliau.

Lihat Komen
ADS