Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin mendakwa beliau mendapat maklumat bahawa terdapat kes politik wang berlaku dalam pemilihan parti yang berlarutan sejak Mei lalu.

Oleh yang demikian, sistem pemilihan parti perlu diperbaiki kerana ia memberi ruang pada amalan seperti itu, yang disifatkannya sebagai “memberi roti pada tikus”.

"Saya ada dengar (wujud) bibit politik wang di mana pada permilihan pertama, kumpulan ini menang, tetapi selepas itu satu kumpulan lain pula menang. Ada elemen beri roti kepada tikus.

Perkara ini yang perlu dibanteras dalam parti kita," kata MP Bukit Katil itu ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Kongres AMK.

Shamsul ketika ditemui Malaysiakini selepas itu menjelaskan bahawa beliau masih tidak mempunyai bukti kukuh berhubung perkara itu kerana ia masih tidak dilaporkan setakat ini.

Beliau yang memandang serius dakwaan tersebut berkata, beliau sekadar mendengar cakap-cakap bahawa keraguan seperti itu timbul dalam pemilihan di cabang Pensiangan, Sabah.

Tiada bukti

"Misalnya di cabang Pensiangan, kalau sebelum pemilihan yang pertama itu, sokongannya padu kepada Azmin, saya dan pasukan lain.

"Untuk pemilihan yang kedua, mengalih kepada Tan Sri Khalid dan pasukan Khalid. Jadi nampaknya ada sesuatu meragukan," katanya tanpa mengemukakan apa-apa bukti.

Dalam ucapannya terdahulu, Shamsul turut menyeru agar tiga kumpulan yang bersaing dalam pemilihan untuk kembali merapatkan barisan dalam parti.

Beliau turut mencadangkan agar dua calon ketua AMK yang tewas dalam pemilihan baru-baru ini, Amiruddin Shari dan Nazri Yunus, diberi kedudukan penting dalam struktur tersebut.

"Kita tidak mahu (pergaduhan). Jadi banyak cabarannya. Musuh kita yang jelas adalah Umno dan BN untuk ditumpaskan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Mood perwakilan yang jelas tidak mahu Pakatan Rakyat hancur. Kita mahu tadbir negara Malaysia ini," katanya sambil menyatakan penghargaan ke atas perwakilan yang menyokong supaya Pakatan Rakyat diperkukuhkan.

Beliau turut mencadangkan agar anggota AMK membuat kajian kepada pesaing mereka – Pemuda Umno, MCA, MIC dan PAS – dalam usaha menarik golongan muda bagi mengelak kekalahan kerusi dengan undi yang tipis berulang sekali lagi seperti di Machap, Melaka.

"Tengok dan teliti pesaing kita, strategi apa yang dapat diambil," katanya.

Lihat Komen
ADS