Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tiada guna rizab tunai jika abai infrastruktur'

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sepatutnya menggunakan sebaiknya dana negeri untuk projek penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan asas untuk rakyat.

Beliau mensasarkan pentadbiran Selangor bawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sering dikritik kerana tidak melaksanakan pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur seperti jalan raya walaupun mempunyai rizab tunai yang besar.

Ini termasuk kritikan berhubung wang penyelenggaraan Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris) yang tidak digunakan sepenuhnya Khalid.

"Jika kemudahan asas untuk rakyat negeri diabaikan, wang simpanan tidaklah begitu beri makna

"Kita akui kerajaan Selangor mempunyai dana dan program-program yang membantu merakyatkan ekonomi yang sepatutnya diteruskan.

"Sungguhpun kita berbangga dengan pencapaian ini, kita jua harus prihatin bahawa isu-isu rakyat perlu diutamakan – sampah, jalan yang melibatkan peruntukan Marris, yang tidak dibelanjakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di Kongres Nasional PKR 10 di Shah Alam hari ini.

Visi untuk Selangor

Khalid yang dipecat PKR 9 Ogos lalu, sebelum ini dikritik kerana terlalu berhati-hati dalam perbelanjaan dan digelar "kedekut" oleh beberapa pemimpin Pakatan.

Dalam ucapannya juga Wan Azizah turut membentangkan "rancangan dan visi" yang perlu dilaksanakan di Selangor yang diterajui Pakatan sejak 2008.

Ini termasuk pemerkasaan mutu pendidikan di institut pengajian tinggi  milik kerajaan negeri seperti Universiti Selangor, Kolej Universiti Islam Selangor dan pusat latihan dibawah kelolaan negeri.

"Reformasi pendidikan perlu diteruskan di seluruh peringkat rendah, menengah dan tinggi. Selangor patut dijadikan sebuah hab pendidikan dan negeri contoh Pakatan Rakyat," katanya.

Wan Azizah yang juga ADUN Kajang turut membayangkan rancangan bahawa Selangor akan menggunakan institusi pendidikannya dengan menyediakan inisiatif bagi menambah kemahiran golongan muda di negeri itu.

Ia bagi menambah kemahiran graduan tempatan bagi membolehkan golongan itu menyesuaikan diri dengan pasaran kerja, katanya.

Lihat Komen
ADS