Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Semua warga Kementerian Pendidikan diminta memberikan komitmen berterusan bagi menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang merupakan proses penting ke arah meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sesuatu proses perubahan ke arah kebaikan sememangnya akan mengambil masa yang lama dan ia merupakan cabaran yang harus dilalui.

"Ada yang tanya kenapa ambil masa hingga 13 tahun untuk sampai ke kedudukan 1/3 teratas, sekarang 1/3 di bawah dan saya sebutkan ini memang cabaran, kalau tanya saya, hasrat saya kalau boleh esok (berubah).

"Tapi saya sedar tak mungkin boleh berlaku (perubahan) kerana proses itu melibatkan banyak perkara, komponen dan aspek. Untuk meningkatkan martabat pendidikan, tak boleh berlaku dalam tempoh segera, mahu atau tidak kena lalui proses ini," beliau berucap pada majlis makan tengah hari bersama warga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah di Alor Setar hari ini.

Beliau berkata sokongan serta penglibatan semua pihak diperlukan bukan sahaja di peringkat kementerian, malahan di negeri, daerah dan paling utama di peringkat sekolah juga perlu menunjukkan komitmen tinggi untuk melaksanakan program serta perancangan.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata komitmen yang dipikul itu merupakan amanah yang termaktub dalam pelan yang harus diterjemahkan dalam bentuk hasil yang akan memberikan perubahan besar dari segi kualiti kepada pendidikan negara.

"Saya sentiasa mengingatkan pada diri dan rakan-rakan di kementerian, pentingnya pelan itu (agar) dapat difahami dan dihayati atas dasar tanggungjawab bersama yang bermula tahun lepas.

"Walaupun dalam tempoh singkat (setahun) kita sudah berjaya sempurnakan beberapa inisiatif dan atas komitmen yang ditunjukkan, kita telah menyediakan laporan tahunan bertulis lengkap, laporan pertama dibentangkan di khalayak (laporan tahun pertama-2013)," katanya.

Beliau berkata setiap warga pendidikan juga perlu bersifat ikhlas dan jujur terhadap diri sendiri kerana di hadapan mereka adalah satu tanggungjawab, demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

"Tidak ada bangsa akan maju tanpa ilmu dan pendidikan. Komitmen adalah amanah dan tanggungjawab dan kita akan terus bekerjasama dengan ikhlas, jika ada isu atau permasalahan, cari jalan untuk selesaikan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS