Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang pengurus didakwa memaksa sekumpulan pekerja asing untuk bermain “bola tampar dengan batu” dan apabila ditolak mereka dipukul dengan kayu.

Insiden itu dikatakan mencetuskan rusuhan di luar sebuah kilang di Kulai Johor pagi ini yang menyaksikan ratusan pekerja yang naik angin membaling batu dan membakar kereta kakitangan pentadbiran.

Menurut sumber yang bekerja di kawasan itu, arahan “bola tampar batu” itu dikeluarkan sebagai hukuman kepada pekerja yang mengambil bahagian dalam protes sebuah kilang bersekutu di Tebrau.

Protes itu berlangsung ekoran kematian rakan kerja mereka selepas didakwa dinafikan rawatan. Setakat ini tiada maklumat lain berhubung isu itu.

Rusuhan itu bermula pada jam 10 pagi dan berlangsung kira-kira sejam sehingga polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU) tiba.

Usaha Malaysiakini mendapatkan reaksi daripada pengurusan syarikat itu setakat ini masih belum berjaya.

Seorang pekerja syarikat itu yang mengangkat telefon berkata:

“Syarikat tutup hari ini, telefon balik esok... telefon esok. Saya tidak tahu apa-apa... telefon esok dan cakap dengan pengurus”.

Sementara itu, The Star Online melaporkan, wakil pekerja Kishor Rai, 23, mendakwa syarikat itu mendera pekerja, kebanyakannya daripada Nepal, saban hari dan mereka tidak dapat menerimanya lagi.

“Bila kami buat salah, mereka pukul kami dan ini tidak adil,” belia dipetik sebagai berkata.

Harian itu juga memetik Kishor sebagai berkata, pengurusan syarikat juga tidak menghantar bas untuk ke tempat kerja dan mereka terpaksa berjalan kira-kira sejam untuk bertugas.

[Baca berita penuh]


KAMLES KUMAR wartawan pelatih di Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS