Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Pakatan tak calonkan satu nama tahun lepas

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat tidak hanya mencalonkan satu nama, iaitu dirinya semata-mata, sebagai menteri besar Selangor kepada istana selepas pilihan raya umum tahun lalu.

Justeru, katanya, tindakan PKR dan DAP mencalonkan satu nama sahaja sebagai penggantinya, atas alasan mengambil kira konvensyen 2013, tidak tepat.

"Cerita (satu nama calon) itu tidak dilaporkan secara tepat.

"Ada pencalonan berasingan dari PKR dan PAS pada 2008 dan 2013," kata beliau dalam sidang media selepas mesyuarat exco sebentar tadi.

Ditanya pemberita, beliau bagaimanapun tidak menjelaskan siapa lagi nama dicalonkan tahun lalu kepada istana.

Semalam, PKR dan DAP berkata hanya akan mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sahaja untuk dipersembahkan kepada sultan Selangor sebagai menteri besar Selangor yang baru.

'Saya tak mahu tahu'

Menurut kenyataan bersama kedua-dua parti itu semalam, tindakan itu diambil sejajar dengan konvensyen pencalonan menteri besar pada 2013 dan mengambil kira titah sultan Selangor.

Menurut mereka, istana tahun lalu meminta lebih daripada satu nama tetapi mereka hanya menamakan Khalid dan akhirnya diperkenan sultan.

Khalid juga memaklumkan istana telah menghantar surat kepada ketiga-tiga parti Pakatan mengenai hal calon yang dikehendaki serta tarikh akhir untuk mengemukakan nama menteri besar.

Bagaimanapun beliau tidak mahu memberi komen terhadap sebarang spekulasi calon dan menyerahkannya kepada Pakatan.

"Saya difahamkan surat sudah dihantar pada hari ini, jadi saya mengharapkan pihak istana tidak menghantar salinan kepada saya, itu sahaja.

"Sebab saya tidak mahu tahu apa-apa juga informasi," kata beliau.

Lihat Komen
ADS