Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS gesa bentuk JK khas rusuhan Kulai
Diterbitkan:  Aug 28, 2014 12:31 AM
Dikemaskini: 4:32 PM

PAS Johor menggesa penubuhan sebuah jawatankuasa khas melibatkan pelbagai pihak bagi merangka penyelesaian terhadap kes warga asing dipercayai merusuh dan membakar bangunan kilang di Kulaijaya, Johor semalam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Mazlan Aliman mencadangkan jawatankuasa yang dibentuk itu merangkumi wakil Kementerian Sumber Manusia, kesatuan sekerja, majikan dan pekerja terlibat.

Ia, menurutnya lagi, harus ditubuhkan segera bagi “mewujudkan mekanisme penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang”.

“Insiden terbaru ini bukan sahaja merosakkan hubungan pekerja dengan majikan yang tentu sahaja menjejaskan produktiviti, nama baik Malaysia di mata dunia juga dipersoalkan,” katanya.

Polis setakat ini menahan 42 pekerja Nepal yang dipercayai merusuh dan membakar sebahagian bangunan kilang membuat komponen pemacu cakera keras di Taman Perindustrian Kelapa Sawit dekat Kulaijaya semalam.

Bernama melaporkan, dalam kejadian itu, kira-kira 800 pekerja asing mengadakan mogok bermula pukul 9 pagi termasuk membakar kereta milik seorang pengurus kilang dan merosakkan bangunan kilang.

Tindakan didakwa dilakukan berikutan rasa tidak puas hati terhadap majikan yang dikatakan mengabaikan kebajikan mereka.

Keadaan pada awalnya berakhir dengan baik selepas kedua-dua pihak mengadakan rundingan, bagaimanapun ia bertukar ganas apabila sebahagian daripada mereka membakar sebuah daripada empat blok kilang malam tadi.

Dalam kenyataannya hari ini, Mazlan juga berkata, pihaknya dukacita kejadian yang memperlihatkan aksi agresif itu tetapi mengucapkan tahniah atas tindakan pantas polis mengawal suasana dan bomba yang memadamkan kebakaran.

Justeru, katanya, penahanan warga asing yang disyaki terlibat juga amat wajar bagi mencari dalangnya.

Beliau pada masa yang bagaimanapun mengingatkan supaya sumbangan pekerja asing di negara ini tidak harus diremehkan.

“Harus di ingat, sumbangan pekerja asing sebagai guna tenaga di negara ini sangat tinggi. Jangan diremehkan soal kebajikan mereka,” katanya yang juga anggota jawatankuasa pusat PAS.

Lihat Komen
ADS