Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemecatan Khalid: PKR beri keterangan pada ROS
Diterbitkan:  Aug 28, 2014 6:00 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong hari ini memberi keterangan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) di sini berhubung pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai ahli parti itu.

    

Perjumpaan bersama Pengarah Bahagian Penguatkuasaan ROS, ASP Akmal Yahaya itu berlangsung kira-kira dua jam, yang turut disertai peguam K Ragunath.

    

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Tan berkata beliau hadir memberi keterangan seperti diarahkan ROS selepas menteri besar Selangor itu membuat aduan bagi menyiasat sama ada keputusan lembaga disiplin dan majlis pimpinan pusat (MPP) PKR melanggar perlembagaan parti.

    

"Antara yang diminta ROS ialah komposisi lembaga disiplin parti, surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada Khalid, maklumat mesyuarat MPP pada 15 Januari dan 21 Ogos lepas, tentang Langkah Kajang serta senarai kehadiran anggota MPP pada mesyuarat untuk memecat Khalid," katanya.

    

Selain itu, beliau berkata ROS juga bertanya sama ada Abdul Khalid ada membuat sebarang rayuan selepas pemecatannya pada 9 Ogos.

"Dalam surat pemecatan yang ditandatangani oleh Setiausaha PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, jelas menunjukkan Khalid boleh buat rayuan dalam tempoh 14 hari kepada MPP. Sampai hari ini Khalid tidak buat apa-apa rayuan," kata Tan.

    

Dalam pada itu beliau mendakwa mustahil untuk Abdul Khalid sebagai pengarah pilihan raya kecil DUN Kajang tidak mengambil maklum mengenai pertukaran menteri besar dan tujuan pilihan raya kecil itu diadakan.

    

Katanya Abdul Khalid turut diminta bertemu Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiga minggu sebelum pemecatan itu untuk berbincang mengenai kedudukannya sebagai menteri besar, tetapi beliau mendakwa tidak ada masa untuk bertemu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS