Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sukar kawal kebebasan bersuara di laman sosial'
Diterbitkan:  Aug 29, 2014 2:33 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Malaysia berdepan dengan situasi sukar dari sudut keharmonian dan perpaduan jika perbuatan menyentuh sensitiviti kaum dan agama tidak dibendung, tegas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ledakan teknologi maklumat telah membawa satu fenomena baharu dalam kalangan masyarakat apabila kebebasan bersuara terutama di laman sosial semakin sukar untuk dikawal.

"Kini amat mudah bagi individu yang tidak bertanggungjawab membuat komen yang menyentuh sensitiviti kaum atau agama tertentu sehingga mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.

"Komen negatif seperti ini (menyentuh sensitiviti kaum dan agama) mudah menjadi 'viral' di media sosial yang akhirnya berpotensi mewujudkan perasaan benci-membenci antara kaum dan agama," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pendidikan Kenegaraan Kebangsaan 2014 di Kuala Lumpur, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menegaskan rakyat perlu mengelak daripada mencetuskan sebarang sentimen perkauman serta agama, sebaliknya melihat dengan mendalam bagaimana untuk memperkukuh perpaduan di negara ini.

"Betapa banyak negara yang terjerumus ke dalam kancah perang saudara dan pergolakan berpanjangan akibat permusuhan dalam kalangan rakyat yang disebabkan oleh perbezaan etnik dan agama.

"Pada ketika itu, kemerdekaan negara daripada cengkaman penjajah sudah hilang maknanya," katanya.

Bagi mengekalkan perpaduan sedia ada, Muhyiddin mahu warga pendidik menyediakan persekitaran kondusif untuk murid pelbagai kaum bergaul dan bermesra sebagai warganegara Malaysia seterusnya menghayati erti perpaduan.

Beliau berkata tumpuan juga harus diberi terhadap pelaksanaan program bercirikan perpaduan menerusi aktiviti harian di sekolah termasuk pembelajaran dan pengajaran, kerohanian, kokurikulum dan sukan.

Sementara itu, Idris berkata konvensyen julung kali yang bertemakan 'Membangun Generasi Pembina Negara' itu diadakan bagi meningkatkan tahap penghayatan terhadap nilai asas kenegaraan melalui perkongsian maklumat dalam kalangan warga pendidikan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS