Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR S'gor: Siapa Rafizi nak menyuruh itu ini?
Diterbitkan:  Aug 29, 2014 4:47 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

PKR Selangor mempersoalkan gesaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli supaya anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka di negeri itu membuat kenyataan terbuka menarik diri daripada sebarang pencalonan sebagai menteri.

Mengaku terkejut dengan kenyataan itu, ketua penerangannya Shuhaimi Shafiei berkata, gesaan Rafizi ( bawah ) itu sebenarnya tidak perlu dan hanya “menghina” mereka dan PKR negeri.

“Saya berpandangan tidak perlu saya dan rakan-rakan ADUN diarah tarik diri kerana kami bukanlah orang yang dicalonkan sebagai MB.

“Cabaran beliau dilihat menghina kami, seolah olah kami tidak ada pendirian,” katanya yang juga ADUN Sri Muda.

Shuhaimi juga menegaskan tindakan semua ADUN PKR di Selangor sudah menandatangani akuan berkanun (SD) menyatakan sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai menteri besar, yang menurutnya sudah cukup untuk membuktikan sokongan.

Malah, katanya, timbalan presiden dan pengerusi PKR Selangor Azmin Ali ( bawah ), yang dicalonkan PAS sebelum ini, juga secara terbuka mengatakan mengikut keputusan parti dan menandatangani SD menyokong Azizah.

“Justeru itu tidak ada kewajaran cabaran Rafizi dan beliau tidak perlu mempertikaikan kesetiaan saya / kami kepada parti,” katanya lagi.

Rafizi yang baru sahaja dipilih sebagai naib presiden PKR hari ini mengucapkan tahniah kepada Ketua Angkatan Muda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad kerana menarik diri daripada pencalonan sebagai menteri besar yang dibuat Pemuda PAS.

Dalam masa yang sama, Rafizi turut menyeru ADUN PKR lain di Selangor supaya mengambil tindakan itu sebagai menghormati keputusan parti itu dan sebagai lambang kesetiaan.

'Angkuh dan bongkak'

Dalam kenyataannya hari ini, Shuhami juga mempersoalkan tindakan Rafizi sebagai naib presiden “mencabar” mereka di media dalam isu itu.

“Soalannya saya, siapa Rafizi yang hendak menyuruh saya membuat itu dan ini? Jika beliau mempunyai cadangan yang difikirkan baik, bawalah ke dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat untuk kita bincangkan dan membuat keputusan,” katanya.

Justeru, katanya, kenyataan Rafizi, termasuk “sebulan dua ini banyak merosakkan hubungan dalam Pakatan dan kini dia melebarkan lagi retak yang sedia ada dalam PKR”.

“Cara beliau memberikan gambaran bahawa hanya pendapat beliau seorang sahaja yang betul dan beliau sahaja yang layak memberikan pendapat,” kata Shuhaimi.

Beliau juga berkata, tiba masanya untuk Azizah sebagai presiden dan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur “cara melampau Rafizi” kerana banyak memberi persepsi yang tidak baik pada Pakatan.

“Amaran saya kepada Rafizi, hentikan segera sikap tergopoh-gapah beliau. Ia bakal menyerlahkan sikap sebenar seorang anak muda yang gelojoh dan mempunyai agenda peribadi dalam pelantikan menteri besar yang baru ini.

“Ia jelas mempamerkan sikap seorang yang angkuh dan bongkak,” katanya dengan nada keras.

Beliau juga menggesa tindak-tanduk itu dihentikan 'Wayang Langkah Kajang' sudah tamat dan Tan Sri Khalid Ibrahim juga mengalah.

“Berilah ruang kepada pihak istana melakukan tugas terakhir mengikut undang undang tubuh negeri dengan teratur,” katanya.

Lihat Komen
ADS