Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Buat julung kalinya Dewan Tunku Abdul Rahman di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang di Kuala Lumpur bergema dengan Perutusan Hari Kebangsaan ke-57 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi.

Majlis penyampaian amanat itu dihadiri kira-kira 400 orang termasuk menteri kabinet, pemimpin masyarakat, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil pelajar.

Disiarkan secara langsung oleh radio dan televisyen bermula pukul 9 malam, majlis itu dikelolakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Najib dalam perutusannya menggariskan tiga amanat termasuk mewariskan sebuah Malaysia yang makmur lagi sejahtera untuk generasi akan datang demi kesinambungan negara bangsa supaya terus gagah bersaing di persada antarabangsa.

Beliau mengakhiri penyampaian amanat itu dengan mengajak penonton berdiri bersama beliau sambil meletakkan tangan kanan di sebelah dada kiri sebagai simbolik bertempatnya hati dan perasaan.

Dengan penuh semangat hadirin mengulangi kata-kata Najib, antaranya: "Di sinilah lahirnya sebuah cinta...di sini tersemainya cita-cita yang luhur dan murni demi pertiwi.

"...dan di sinilah kita pastikan ia terus menguntum dan mengharum di sanubari satu semangat patriotik yang marak menyala dan menjulang tinggi.... Sesungguhnya jua kita semua adalah penyambung warisan," katanya.

Setelah itu, Najib melaungkan perkataan keramat Merdeka sebanyak tiga kali.

Pada majlis itu Najib turut melancarkan Setem Edisi Khas 57 Tahun Merdeka, yang akan mula dijual kepada umum pada 2 Sept.

Majlis itu turut dihadiri aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye, artis termasuk Norman Abdul Halim, Amanda Amani serta ikon fesyen Tengku Muhammad Azwan Shah atau lebih dikenali sebagai Wak Doyok.

Penyerang pasukan bola sepak Harimau Malaya, Mohd Safee Mohd Sali, Miss Malaysia Universe 2013 ,Carey Ng dan pelajar-pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut tidak ketinggalan menghadiri majlis penuh bersejarah itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS