Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Golongan atlet sekarang bertuah kerana memiliki banyak kelebihan jika dibandingkan dengan apa yang perlu dilalui oleh atlet pada zaman sebelum Merdeka dan awal Merdeka.

Dengan dorongan tinggi kerajaan, Kementerian Belia dan Sukan serta persatuan sukan, golongan atlet di Malaysia pada masa ini disifatkan antara yang paling beruntung kerana banyak kemudahan disediakan.

Rata-rata golongan ahli sukan veteran negara menyifatkan perkembangan dunia sukan begitu menyerlah sehingga bidang sukan sudah menjadi satu profesion berbanding status amatur pada era 60 hingga 90-an.

Tokoh boling negara Holloway Cheah berkata atlet sekarang beruntung kerana aspek sains sukan diberi penekanan selain kemudahan latihan yang serba lengkap serta bimbingan jurulatih bertauliah.

Beliau berkata atlet perlu bersyukur dengan segala kemudahan yang disediakan untuk mencungkil dan membentuk barisan atlet yang mampu menggalas cabaran negara di persada antarabangsa.

"Semasa saya mula menceburi dalam sukan boling, ia tidaklah mudah. Saya terpaksa bekerja dahulu dan tiada jurulatih tetap dan kami perlu berlatih sendiri. Peralatan sukan pun kena beli sendiri," katanya kepada Bernama.

Menurut Cheah atlet pada masa ini perlu menterjemahkan segala kemudahan yang diperoleh dengan membawa pulang kejayaan atau merangkul pingat emas untuk negara daripada temasya sukan antarabangsa.

Mengimbau kembali zaman kegemilangannya, Cheah, jurulatih berusia 72 tahun itu berkata adalah agak sukar untuk beliau melupakan saat meraih pingat ketika pertama kali beraksi di Sukan Asia di Bangkok pada 1978.

"Bila lagu 'Negaraku' dan bendera Malaysia dinaikkan, perasaan ketika itu sangat sukar digambarkan. Saya sungguh bangga. Sehingga kini masih boleh membayangkannya. Saya juga menyimpan keratan akhbar mengenai berita kemenangan saya itu," katanya.

Bagaimanapun, rasa megah meraih pingat emas itu tidak dapat disamakan dengan perasaan bangga apabila menjadi antara saksi kepada detik bersejarah negara ketika Perdana  Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman melaungkan  perkataan keramat 'Merdeka' di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.

   

"Masa itu saya berusia 15 tahun. Saya bersama-sama  beberapa rakan ke Stadium Merdeka. Semua orang datang dengan perasaan gembira. Bila Tunku Abdul Rahman laung 'Merdeka, Merdeka, Merdeka'...kami sama-sama melaungkannya. Rasa bangga tidak terhingga...itu detik  bersejarah negara," kata Cheah, yang dilahirkan pada 1942.

Dalam perkembangan lain, semangat patriotik membuatkan pemain skuasy Mohd Azlan Iskandar menerima pelawaan untuk kembali semula mewakili negara pada Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan, dari 19 Sept hingga 4 Okt ini.

Pemain itu bersara daripada pertandingan kompetitif sejak dua tahun lepas tetapi jauh di sudut hati kecilnya, masih bersemangat untuk mewakili negara.

"Ia adalah suatu kebanggaan kepada diri saya apabila dapat kembali mewakili negara dan lebih membanggakan jika saya  memenangi pingat untuk Malaysia," katanya.

Menurut Mohd Azlan, walaupun beliau adalah generasi yang lahir selepas Merdeka, namun semangat patriotisme dan memahami pengertian mengenai kemerdekaan negara telah tertanam dalam jiwanya sejak kecil lagi.

   

Pemain berdarah kacukan berusia 32 tahun itu menjadi pemain profesional pada 2000 dan ahli Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

Sepanjang kariernya, pemain berasal dari Sarawak itu telah beraksi dalam 24 perlawanan akhir Jelajah Dunia PSA dan memenangi 14 gelaran Jelajah Tour, termasuk tiga kejuaraan Terbuka Malaysia pada 2004, 2007 dan 2010.

Beliau mencapai kedudukan terbaik dalam ranking dunia iaitu kedudukan ke-10 pada Mac 2011 dan juga adalah pemenang pingat emas Sukan Asia di Guangzhou, China pada 2010.

Bagi badang negara Mohd Hafifi Mansor, 24, pula, tanggal 31 Ogos memang memberikan pengertian bermakna bagi dirinya dan menjadi rutin baginya untuk keluar menyaksikan perarakan Hari Merdeka  pada setiap tahun.

"Memang aktiviti wajib bagi saya untuk tengok perarakan Hari Merdeka disebabkan ayah saya lahir pada tahun 1957, tahun Malaysia merdeka. Jadi, arwah ayah memang sangat menghargai Hari Merdeka.

"Walaupun ayah sudah tiada, saya masih mencari peluang untuk turut serta menyaksikan perarakan, sama ada secara langsung atau menerusi televisyen," katanya pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland.

- Bernama

Lihat Komen
ADS