Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azizah: Merdeka bukan sekadar kibar bendera
Diterbitkan:  Aug 31, 2014 11:00 AM
Dikemaskini: 3:13 AM

Perutusan merdeka PKR hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia menghayati kemerdekaan dalam erti kata sebenar dan bukan sekadar bebas daripada perhambaan dan penjajahan British.

Sebaliknya, kata Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail, Malaysia juga harus mempunyai kebebasan dalam segala bidang termasuk bebas daripada belenggu perkauman.

“Bukan juga menyambutnya dengan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang sahaja,” katanya.

“Kemerdekaan yang dicari sebenarnya adalah kebebasan hati dan jiwa, kebebasan diri dan anggota keluarga dari belenggu pemikiran yang rasis dan sempit, serta mempunyai kebebasan ekonomi.”

Azizah juga hari ini berkata, rakyat mesti dipupuk melahirkan jiwa merdeka, dengan memerdekakan sepenuhnya daripada “cengkaman dan kezaliman” demi membina negara yang aman harmoni, serta rakyatnya saling hormat menghormati.

Katanya, kemerdekaan berasaskan istilah “islah atau reformasi”  harus bermula dengan kepimpinan amanah, telus, berkesan serta memperjuangkan prinsip keadilan dan kebebasan rakyat.

“Tekad PKR untuk membebaskan rakyat dari tekanan ekonomi, kebebasan dalam fahaman dan kepercayaan dengan asas hak-hak rakyat bernegara yang dilindungi oleh perlembagaan.

“Dengan itu, kita dapat membina nilai moral yang tinggi dan akhlak mulia. Kita mahukan sebuah negara yang merdeka dan bebas dari gejala rasuah, pembaziran dan kecuaian,” katanya.

Malaysia hari ini menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-57 dengan tema "Merdeka... di sini lahirnya sebuah cinta".

Lihat Komen
ADS