Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bahaya tapi berbaloi, kata jurufoto 'gadis kebaya'

Jurugambar profesional Keow Wee Loong yang terkenal dengan gambar ikoniknya memaparkan 'gadis kebaya' pro-Gaza mengakui berbaloi dapat merakam gambar 'viral' itu walaupun prosesnya diakui berbahaya.

 
Keow mengakui usahanya berbaloi kerana dapat menarik perhatian orang ramai terhadap isu kemanusiaan itu, malah gambar yang dirakamkannya disebar meluas.
 
"Mereka (pengkritik) kata perkara ini bahaya kerana mereka tidak faham. Apa saja yang kita buat ada bahayanya, seperti memandu kereta, menyelam dan menaiki kapal terbang,” katanya.
 
Beliau juga sedar ramai pihak bercakap tentang kempen selamatkan Gaza ekoran kempennya dengan gadis kebaya Fatin Ilani ( atas ), 20, tetapi tidak memberi kredit terhadap pihak di belakang idea itu.
 
Menceritakan cetusan ideanya untuk projek itu, Keow berkata, ia muncul apabila berlaku demonstrasi di pelbagai tempat menyatakan sokongan kepada rakyat Gaza dan selepas Fatin mengajaknya menyampaikan mesej sama.
 
"Projek Gaza adalah dalam senarai saya dan Fatin datang tepat pada masanya untuk bekerjasama," jelasnya menjawab soalan Malaysiakini melalui aplikasi pesanan WhatsApp.
 
'Rahsia silap mata'
 
Foto Fatin yang dirakam Keow sebelum ini menarik perhatian ramai apabila bergambar memegang plakad “Save Gaza” (Selamatkan Gaza) di atas koridor tingkat atas sekali bangunan keempat tertinggi di Malaysia dengan ketinggian hampir 300 meter di ibu negara.
 
Fatin dengan kebaya kelabu kebiru-biruan dan berkain songket itu dirakam dengan berlatar belakangkan suasana bergemerlapan ibu kota di waktu malam.
 
Sementara itu, Keow juga memberitahu, tema baju kebaya, baju tradisional negara ini, diketengahkan sebagai simbolik Malaysia.
 
Ditanya perasaan Fatin ketika itu, beliau mengakui 'modelnya' itu kelihatan gemuruh tetapi pada masa yang teruja apabila berada di puncak bangunan pencakar langit setinggi hampir 300 meter itu.
 
Berhubung peperangan antara Hamas dan Israel itu, Keow secara peribadi mahu ia berakhir supaya penduduk Gaza tidak lagi menderita.
 
Ditanya tentang teknik fotografi dan alatan yang digunakan, beliau berkata menggunakan kamera Nikon D700 tetapi memilih berahsia tentang teknik yang digunakan.
 
"Ahli silap mata tidak boleh mendedahkan rahsia mereka," katanya sambil bergurau.
 

NADIA OTHMAN wartawan pelatih di Malaysiakini .

Lihat Komen
ADS