Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jurucakap PAS berkata, parti itu terpaksa memindahkan lokasi muktamarnya ke Batu Pahat ekoran masalah kelulusan dari pihak berkuasa tempatan Johor Bahru.

Penolonga Setiausaha Agung PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil mendakwa, masalah tersebut memberi tekanan kepada pemilik tanah di lokasi yang dirancang.

Lokasi yang dimaksudkan adalah satu kawasan tanah lapang dekat Sutera Mall, Johor Bahru.

"Kami mendapat kerjasama daripada tuan tanah dan polis. Tapi tidak mendapat kelulusan daripada PBT (pihak berkuasa tempatan) di situ. Ada tekanan kepada tuan tanah.

"Kami cuba mendapatkan maklumat daripada Pejabat Menteri Besar mengenai perkara ini. Tapi memandangkan tempoh terlalu singkat, jadi kami ambil keputusan untuk pindah," katanya.

Susulan itu, PAS terpaksa memulangkan bayaran pendahuluan sewa tanah tersebut, sebanyak RM75,000, katanya dalam sidang medianya pagi ini.

PAS juga kini terpaksa meratakan tanah seluas enam ekar di Batu Pahat bagi urusan perjalanan muktmar PAS yang dijadual berlangsung pada 18 hingga 20 September depan.

"Ia bukan tekanan kepada kita sehingga kita menukar ke negeri lain. Kita akan buat di Johor juga sebagai tempat yang subur bagi PAS untuk berkembang," katanya.

Beliau turut menjelaskan PAS Johor telah menafikan laporan media arus perdana bahawa pembatalan lokasi itu disebabkan bayaran sewa yang tidak mencukupi.

Sementara itu, dalam sidang media itu juga, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar mendakwa tidak wajar kerajaan BN Johor "bermain politik" menghalang PAS menggunakan lokasi asal untuk mengadakan muktamar itu.

"Tak sepatutnya BN dan kerajaan negeri main politik. Itu tak wajar. Kita bukan nak (bermesyuarat) sambil baling kerusi," katanya.

Lihat Komen
ADS