Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad menyingkirkan dua orang pemimpin tertinggi kesatuan pekerjanya atas pembabitan dalam satu piket pada 9 Mei lalu.

Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja KTMB (RUM), Abdul Razak Md Hassan ketika dihubungi turut mengesahkan bahawa tindakan sama mungkin dikenakan ke atas 110 orang lagi anggota kesatuan tersebut.

Katanya, beliau dan timbalannya menerima surat penamatan perkhidmatan itu pada Jumaat lalu.

"Saya bersama timbalan saya dah dibuang kerja tanpa notis yang berkuat kuasa serta merta pada 29 Ogos lepas. Surat itu dikeluarkan pada 29 Ogos dan saya dipecat juga pada 29 Ogos," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Piket yang disertai ratusan anggota RUM itu bagi mendesak presiden KTMB Datuk Elias Kadir melepaskan jawatan kerana didakwa menunjukkan prestasi yang kurang cemerlang sepanjang perkhidmatannya.

Abdul Razak berkata, pihak pengurusan tidak berkuasa menghalang tindakan industri tersebut, yang dijalankan mengikut Sekyen 4 Akta 177, Akta Perhubungan Industri 1967.

"Yang aturkan piket itu kesatuan. Kenapa nak ambil tindakan terhadap pekerja? Tindakan dia (Elias) adalah salah.

Dia sekarang seolah-olah nak bunuh kesatuan. Dia pakai undang-undang mana? Ini dah pakai undang-undang rimba. Dia tak ikut undang-undang negara," katanya

Ditanya lanjut, Abdul Razak berkata beliau kini menanti pendengaran berhubung aduan rasmi yang telah diberi kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan.

Menurutnya, aduan itu dibuat memandangkan pihak KTMB telah melanggar Akta Perhubungan Industri.

"Kita tak hantar ke mahkamah lagi. Sekarang ini hantar aduan rasmi kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan. Tunggu pendengaran.

“Kita kena tunggu, keputusan ini (berpiket) betul atau tidak merupakan aktiviti di bawah RUM. Kalau betul, (KTMB) tak boleh ambil tindakan pemecatan.

"Kita akan guna semua pendekatan yang ada untuk menentang Datuk Elias Kadir ini yang kita anggap sebagai diktator," tegasnya lagi.

Lihat Komen
ADS