Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PKR berikrar untuk mengulangi momentum kempen membantah penipuan dalam pilihan raya umum - Black505 - bagi menuntut pemansuhan Akta Hasutan dengan segera.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mengumumkan siri jelajah kempen Mansuhkan Akta Hasutan (MAH) yang akan bermula di Kuala Lumpur dan seterusnya ke setiap negeri pada bulan ini.

Menurutnya, kempen itu akan turut melibatkan pimpinan tertinggi PKR dan tarikh jelajah setiap negeri akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Ia bakal menggembleng bantahan rakyat seperti mana kita menggembleng kempen #black505 dahulu," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR petang ini.

Menurutnya lagi, kempen itu akan diperkukuhkan dengan tandatangan petisyen yang akan digerakkan oleh akar umbi PKR di setiap cabang dan akan dibawa ke sidang Parlimen akan datang.

Dalam sidang media itu juga, Rafizi berkata PKR juga akan bekerjasama dengan gerakan mahasiswa dan gerakan lain untuk mendesak pemansuhan segera akta itu.

"Kami menuntut pentadbiran Datuk seri Najib Razak menggugurkan serta-merta semua dakwaan di bawah Akta Hasutan setakat ini - tidak kiralah sama ada kepada sesiapa pun sama ada terhadap ISMA atau tokoh akademik sekalipun - gugurkan," kata Rafizi.

Beliau mengumumkan perkara itu bersama beberapa MP PKR lain antaranya Nurul Izzah Anwar (MP Pantai Dalam), Sivarasa Rasiah (Subang), Wong Chen (Kelana Jaya), Dr Tan Kee Kwong (Wangsa Maju), Tian Chua (Batu), Shamsul Iskandar Md Akin (Bukit Katil).

Lihat Komen
ADS