Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Sesyen memutuskan bekas pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhammad Safwan Anang @ Talib, 25, bersalah atas tuduhan menghasut dalam satu ucapan pada 13 Mei tahun lepas.

Hakim Norsharidah Awang memutuskan Safwan bersalah di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 selepas berpuas hati ucapannya itu mengandungi elemen menghasut.

"Mahkamah berpuas hati perkatan-perkataan tertuduh mempunyai kecenderungan menghasut.

"Mahkamah mendapati tertuduh bersalah," kata Hakim Norsharidah sewaktu membacakan penghakimannya.

Safwan sebelum ini dituduh menyampaikan ucapan berbentuk hasutan untuk menggalakkan orang ramai menukar kerajaan yang dibentuk berdasarkan undang-undang, dengan cara yang tidak sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur di alamat Nombor 1, Jalan Maharajalela, Dang Wangi, Kuala Lumpur antara jam 8.55 malam dan 11.15 malam pada 13 Mei tahun lepas.

Peguam Safwan, Ariff Azami Hussein dalam mitigasinya berkata, Safwan yang baru berusia 25 tahun dan kini mempunyai tanggungan seorang isteri dan bayi berusia lapan bulan.

Tambahnya lagi, beliau juga menanggung keluarganya dengan bekerja sebagai guru mengaji sambilan dengan gaji sekitar RM1,200 sahaja sebulan.

Hukuman berat sebagai tauladan

Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi bagaimanapun mencadangkan bahawa Safwan perlu dikenakan hukuman penjara sebagai pencegahan dan teladan kepada pihak lain.

Oleh itu, beliau berhujah bahawa  mahkamah seharusnya mempertimbangkan betapa beratnya kesalahan tersebut dan memberi tauladan dan amaran kepada orang awam agar tidak melakukan kesalahan yang sama dan terus menular di kalangan orang awam.

Hakim Norsharidah sewaktu membacakan penghakimannya berkata beliau mengambil kira faktor pengaruh Safwan dan kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman.

"Ini siapa semua? Mahasiswa? Awak lihatlah betapa berpengaruhnya awak," kata Norsharidah apabila melihat galeri awam dipenuhi penyokong Safwan.

Pengaruh pemimpin siswa

"Hukuman seharusnya memberi pengajaran kepada mereka yang cenderung melakukan kesalahan. OKT (orang kena tuduh) mempunyai pengaruh besar kepada mahasiswa dan NGO yang diwakilinya. Awak sepatutnya menjadi role model,” katanya lagi.

Beliau turut menegur aktivis berkenaan dan berharap hukuman tersebut akan menjadi pengajaran kepada para penyokongnya yang hadir di galeri awam tersebut.

"Di sini awak menggunakan kedudukan awak untuk mempengaruhi mahasiwa dan NGO. Mahkamah seharusnya mengambil kira kepentingan awam dalam hal ini.

"Jadi rayuan awak tentang masalah peribadi itu seharusnya difikir sebelum awak melakukan kesalahan.

"Saya harap hukuman ini menjadi pengajaran kepada semua yang hendak melakukan kesalahan. Awak semua student (pelajar)," katanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan bermula hari ini.

Selain Safwan, empat orang lagi menghadapi tuduhan yang sama dengan beliau tetapi dibicarakan secara berasingan.

Mereka adalah MP Batu Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua, 50, aktivis Adam Adli Abdul Halim, anggota PAS Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar, 63, dan aktivis Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, 55.

Lihat Komen
ADS