Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini sebulat suara menukar keputusan terbuka koroner dalam inkues kematian pembantu politik DAP, Teoh Beng Hock.

Oleh kerana kepentingan kes itu, mahkamah telah menulis tiga penghakiman yang berasingan.

Hakim Datuk Mah Weng Kwai adalah yang pertama membaca penghakimannya. Dua lagi hakim yang bersidang bersama beliau dan yang juga akan membacakan keputusan mereka ialah Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan Hakim Datuk Hamid Sultan Abu Backer.

Hakim Mohamad Ariff mengetuai panel hakim tersebut.

Hakim Mah memutuskan bahawa majistret (yang bersidang sebagai koroner) dan Mahkamah Tinggi di Shah Alam, telah menggunapakai ujian yang salah yang memerlukan keluarga Teoh membuktikan dakwaan mereka (mengenai punca kematiannya) melampaui keraguan yang munasabah.

Ujian yang betul untuk digunapakai dalam siasatan kematian atau inkues adalah imbangan ujian kebarangkalian.

Hakim Mah memutuskan bahawa kematian Teoh adalah kematian dalam tahanan apabila dia ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau memutuskan Teoh tidak sengaja jatuh dengan sendirinya dan dengan itu menolak bunuh diri sebagai punca kematian Teoh.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa panel tiga hakim tersebut membuat keputusan itu sebulat suara dan memerintahkan supaya siasatan lebih terperinci dijalankan berkaitan kematian itu, tanpa mengecualikan pegawai daripada SPRM.

Ketiga-tiga anggota panel itu menyediakan penghakiman bertulis masing-masing. Dua lagi hakim ialah Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer.

Panel itu memerintahkan supaya diketepikan keputusan terbuka yang dibuat Mahkamah Koroner dan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak permohonan semakan semula.

Mah, yang membacakan penghakiman beliau terlebih dahulu, memutuskan bahawa kematian Teoh adalah kematian dalam tahanan iaitu ketika berada dalam tahanan pegawai SPRM.

Beliau berkata Teoh dipanggil ke pejabat SPRM sebagai seorang saksi dan  tertakluk kepada soal siasat sehingga awal pagi, yang jelas menunjukkan bahawa hak beliau telahpun dicabuli.

Mengenai kemungkinan Teoh membunuh diri, Mah menolak kemungkinan itu, dengan berkata tulisan tangan pada nota bunuh diri yang didakwa ditulis Teoh tidak boleh disahkan pakar sebagai tulisannya.

Tambahan pula, katanya, perilaku Teoh sebelum insiden itu jelas menunjukkan bahawa beliau berkeadaan waras dan sedang sibuk membuat persiapan untuk hari perkahwinannya.

Mah turut merujuk dengan terperinci kepada pandangan dua pakar ketika  menolak bunuh diri sebagai kemungkinan penyebab kematian seperti yang dicadangkan oleh peguam yang mewakili SPRM semasa inkues.

Beliau merujuk kepada pandangan pakar Dr Pornthip Rojanasunand dan Dr Peter Venezis dalam nota inkues bahawa Teoh mungkin dicekik oleh seseorang berdasarkan kecederaan pada lehernya.

"Ini mungkin mengakibatkan beliau tidak sedarkan diri, dan kedua-dua mereka (pakar) percaya beliau masih hidup semasa terjatuh dari tingkat 14 bangunan itu dan saya bersetuju dengan mereka," kata Mah.

Beliau turut mempersoalkan perilaku para pegawai SPRM yang menyoal siasat Teoh dan menggesa polis menjalankan siasatan lanjut berkaitan orang sebenar yang memudaratkan mangsa selain menggesa polis supaya tidak mengecualikan para pegawai SPRM yang kali terakhir dilihat bersama Teoh.

Teoh ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, yang sebelum ini menempatkan ibu pejabat SPRM, pada pagi 16 Julai 2009. Beliau berusia 30 tahun.

Selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka, abang Teoh, Meng Kee memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi supaya keputusan itu disemak semula.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi di Shah Alam menolak permohonan semakan semula oleh Meng Kee pada 1 Dis 2011.

Meng Kee memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan pada 2 Feb tahun lepas untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Sementara itu, Hakim Hamid Sultan menarik perhatian terhadap kelewatan para pegawai SPRM melaporkan kematian Teoh dan kegagalan mereka melindungi tempat jenayah itu berlaku sebelum ketibaan polis.

"Mereka sepatutnya ingat bahawa Teoh hanyalah bakal saksi dalam kes ini, bagaimanapun beliau disoal siasat dalam masa yang begitu panjang," katanya.

Beliau menegaskan kecederaan pada leher Teoh berlaku di premis SPRM dan terdapat bukti mencukupi yang menjurus ke arah para pegawai SPRM.

Hamid Sultan berkata mengikut Perlembagaan Persekutuan, mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mendesak Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap pesalah.

    

"Saya akan membenarkan rayuan ini dan mengarahkan ketua polis negara dan Jabatan Peguam Negara melaksanakan perkara perlu untuk memulakan siasatan mengikut CPC (Kanun Tatacara Jenayah) dan membuat pertuduhan dengan sewajarnya," tegas Hamid Sultan.

    

Mohamad Ariff pula berpendapat terdapat keterangan mengikut keadaan yang mencukupi bahawa kematian Teoh disebabkan beliau jatuh dan perkara ini dipercepatkan oleh orang yang tidak dikenali.

    

Beliau menggesa Jabatan Peguam Negara supaya meneruskan siasatan terhadap insiden itu, termasuk nota bunuh diri yang didakwa ditulis Teoh.

    

Selepas keputusan itu, adik perempuan Teoh, Lee Lan berkata keputusan mahkamah itu jelas menunjukkan bahawa abang beliau dibunuh, dan menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.

    

"Sungguhpun sudah lima tahun berlalu selepas kematiannya (Teoh), penantian untuk mendengar keputusan ini sangat berbaloi," kata Lee Lan dengan linangan air mata, dan hadir di mahkamah bersama ibu bapa serta anggota keluarganya yang lain.

    

Meng Kee diwakili peguam Gobind Singh Deo manakala Jabatan Peguam Negara pula oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS