Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mat Sabu: Kami tak tahu senarai baru calon MB
Diterbitkan:  Sep 5, 2014 11:00 AM
Dikemaskini: 4:38 AM

Jawatankuasa Pusat PAS tidak mengetahui senarai nama calon menteri besar Selangor lain yang telah dihantar kepada pihak Istana.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata beliau dan ahli jawatankuasa pusat lain tidak mengetahui laporan bahawa nama yang dihantar kepada Istana bukan sepertimana yang dipersetujui dalam mesyuarat 17 Ogos lalu.

"Saya ingin menyatakan bahawa dalam perkara yang disebut Setiausaha Agung PAS, Dato Mutapha Ali semalam seperti laporan pelbagai media, bahawa nama Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Azmin Ali tidak ada dalam senarai pencalonan PAS adalah tidak dalam pengetahuan saya.

"Laporan tentang kenyataan itu juga ada menyebutkan bahawa Setiausaha Agong (Datuk Mustafa Ali) mengakui PAS telah menyenaraikan salah seorang exco PAS sebagai calon MB.

"Kami, AJK PAS Pusat tidak tahu menahu akan nama baru ini kerana ia tidak diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebagai Badan Eksekutif yang mengendalikan urusan harian pentadbiran dan strategi parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu mengakui perkembangan terbaru ini memberi persepsi negatif kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun beliau menegaskan PAS komited dengan semua keputusan mesyuarat yang disepakati pimpinan pusatnya.

"Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 25 hb Ogos pula mengambil keputusan bahawa kami sepakati atas nama yang diputuskan pada mesyuarat 17 hb Ogos dan menyerah kepada Kuasa Budibicara Tuanku Sultan untuk membuat pilihan calon Menteri Besar Selangor itu," kata beliau.

Semalam, beberapa pemimpin kanan PKR memberitahu Malaysiakini bahawa PAS tidak mengemukakan nama Wan Azizah dan Azmin kepada pihak istana.

Ini bertentangan dengan pendirian PAS pada 17 Ogos lalu yang memutuskan menyokong Azizah di samping Azmin sebagai calon menteri besar.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali semalam mengesahkan bahawa parti itu menghantar dua nama calon MB – seorang ADUN PKR dan seorang lagi dari PAS.

Walaupun beliau tidak menyebut nama ketiga-tiga ADUN berkenaan, laporan yang muncul setakat ini menunjukkan bahawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan tiga nama exco Selangor dari parti itu – Iskandar Ab Samad, Sallehin Mukhyi dan Ahmad Yunus Hairi.

Lihat Komen
ADS