Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bekas ketua hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohamad menyokong agar Akta Hasutan dipinda bagi membolehkan kerajaan dikritik.

Katanya, ia akan memberi keuntungan kepada kerajaan sekiranya kesalahan menghasut terhadapnya dimansuhkan.

"Maksud saya hanya terhadap kerajaan tetapi terhadap Raja mestilah dikekalkan. Ini lebih demokratik, lebih telus dan lebih terbuka.

"Hari ini, walaupun larangan itu ada, setakat yang saya tahu, kerajaan tidak pernah mengambil tindakan terhadap orang yang mengkritiknya kerana itu sebahagian daripada demokrasi.

"Jadi untuk apa dikekalkan peruntukan itu?," katanya pada satu syarahan di Seminar Kebangsaan Islam dan Tajdid 2014

Beliau turut menggesa agar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan disebut secara jelas dalam Akta Hasutan.

Jelasnya, kerajaan boleh meneladani negara Singapura yang tidak pun mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi.

Namun, kerajaan tersebut memastikan sebarang tindakan yang menimbulkan perasaan kurang senang terhadap agama itu, diambil tindakan.

Perbuatan sensitif

"Patutkah Akta Hasutan dimansuhkan? Jawapan saya tidak.

"Patutkah Akta Hasutan dipinda? Jawapan saya ya.

"Apakah pindaan yang perlu dibuat? Jawapan saya masukkan Perkara 3 Perlembagaan Malaysia (agama Islam agama Persekutuan) ke dalam Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan bersama-sama Perkara 152, 153, 181 dan Bahagian III," katanya.

Jelasnya, Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan adalah bukti jelas bahawa akta itu bukan warisan dari penjajah British.

Menurut beliau, seksyen itu digubal oleh bekas perdana menteri Tun Abdul Razak selepas Peristiwa 13 Mei 1969 bagi mengelakkan tragedi itu berulang.

"Bagi saya, pewujudan Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan adalah kemuncak kejayaan politik orang Melayu dan Tun Abdul Razak Hussein," katanya.

Seksyen 3(1)(f) memperincikan empat perbuatan sensitif di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia membawa kepada kecenderungan menghasut dan individu yang melakukannya boleh dihukum di bawah seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Empat isu sensitif tersebut ialah kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera, bahasa kebangsaan, kewarganegaraan dan kuasa Raja-Raja Melayu.

Pada masa sama, Tun Hamid menyatakan rasa hairannya dengan penggubalan Rang Undang-undang Keharmonian yang dipantau oleh dua orang menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dan Datuk Seri Joseph Kurup.

Ini kerana, Akta Hasutan yang hendak diganti oleh rang tersebut terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Sebarang cadangan untuk menggubal akta baru menggantikan Akta Hasutan juga perlu diselia oleh Peguam Negara, dan bukannya oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta Majlis Peguam, katanya.

Lihat Komen
ADS