Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihak berkuasa termasuk polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Jabatan peguam negara perlu mengambil tindakan segera dan tegas terhadap individu yang melakukan jenayah hasutan dalam media sosial.

Timbalan perdana menteri berkata penguatkuasaan undang-undang sedia ada juga perlu diperketat bagi membendung jenayah itu daripada menular dalam masyarakat serta demi memastikan keharmonian kaum dan agama tidak dicemari oleh tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab itu.

Jelasnya ketegasan kerajaan dalam membendung jenayah hasutan adalah penting demi memastikan keharmonian kaum dan perpaduan rakyat negara ini terus terpelihara.

"Perlembagaan negara kita bukan saja memberi jaminan hak yang adil dan saksama kepada semua kaum, malah memberi kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara bagi memastikan perkara termaktub dalam perlembagaan tidak mudah dipersoal oleh sesiapa pun.

"Tidak ada mana-mana pihak boleh mengatakan mereka mempunyai hak kebebasan bersuara dalam mempersoalkan perkara-perkara asas yang membentuk Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang aman dan harmoni kerana perlembagaan sendiri tidak menganggap ia sebagai satu hak," katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan 'Program Membudayakan Perpaduan, Meraikan Kepelbagaian' di Stadium Titiwangsa anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional G.Letchumanan.

Muhyiddin berkata antara asas yang paling penting dalam pembinaan negara adalah jaminan hak bagi setiap kaum seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kepentingan perkara-perkara asas ini turut dizahirkan oleh Perlembagaan Persekutuan apabila Perkara 10 menetapkan bahawa Parlimen boleh meluluskan undang-undang menyekat kebebasan bersuara bagi tujuan menghalang mana-mana pihak daripada mempersoalkan apa-apa perkara.

"Antaranya yang berkaitan keistimewaan kaum Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak yang sah bagi kaum lain, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak bagi semua kaum untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing," jelasnya.

Justeru, timbalan perdana menteri berkata Akta Hasutan 1948 yang dipinda selepas tragedi 13 Mei 1969 menetapkan tindakan mempersoalkan perkara-perkara penting yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai satu perbuatan menghasut dan boleh dihukum oleh mahkamah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS