Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

GALERI FOTO

Siswa Universiti Malaya berarak bersama pensyarah undang-undang kampus tersebut, Azmi Sharom bagi menuntut pemansuhan Akta Hasutan dan juga membantah tuduhan ke atas ahli akademik tersebut.

Seramai 500 orang siswa itu berarak sejauh satu kilometer dari fakulti undang-undang ke satu kawasan perhimpunan, bermula jam 1 tengahari.

Para peserta yang diketuai presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Fahmi Zainol itu memakai reben biru sebagai tanda solidariti dengan Azmi.

Dalam perhimpunan di “Student Corner” di hadapan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, kumpulan siswa itu seterusnya membacakan satu deklarasi berhubung kebebasan akademik dan menyanyikan lagu Negaraku.

Kumpulan berkenaan seterusnya berhimpun di kawasan gazebo, Kompleks Perdana Siswa bagi pada jam 2.30 petang bagi mengikut kuliah terbuka yang disampaikan oleh Azmi dan beberapa orang pensyarah.

Sanggup ponteng kelas

Dalam ucapannya di perhimpunan tersebut Azmi menyanjung tindakan siswa berkenaan yang sanggup ponteng kelas semata-mata untuk menyatakan solidariti bersamanya.

"Menteri anda itu cakap semalam jangan ponteng kelas, tapi kamu (pelajar) di sini bukan untuk saya tetapi untuk kebebasan bersuara.

"Mahasiswa yang tidak mahu hadir ke kelas adalah hak mereka masing-masing, mereka sudah besar dan boleh memilih serta berfikir sendiri", kata pensyarah itu lagi.

Tambahnya, golongan siswa juga harus berdiri di belakang aktivis dan juga anak muda yang turut didakwa mengikut undang-undang itu.

“Anak muda bukan kambing biri-biri, ini adalah kebebasan bersuara. Kita harus memberi kebebasan pada ustaz Wan Ji (Wan Husin), Adam Adli, Ali Abdul Jalil dan Safwan Anang,” katanya.

Kesemua aktivis berkenaan menghadapi tuduhan sama di mahkamah berhubung kesalahan hasutan.

Azmi sendiri pada 2 September lalu didakwa di mahkamah mengikut Akta Hasutan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang menghasut berhubung krisis perlembagaan di Perak.

Turut hadir dalam acara itu ialah seorang lagi pensyarah dari fakulti ekonomi, Lee Hwok Aun dan pemimpin Islamic Renaissance Front, Dr Farouk Musa.

Parta MP DAP turut hadir bagi memberi sokongan pada Azmi, termasuk Teo Nie Ching (Kulai), Lim Lip Eng (Segambut) dan Teo Kok Seong (Rasah).

Sementara itu satu kumpulan siswa di Universiti Sains Malaysia turut berhimpun di kampus berkenaan bagi tujuan sama.

 

Lihat Komen
ADS