Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Persatuan: Kertas ujian bocor rugikan k'jaan
Diterbitkan:  Sep 11, 2014 11:28 AM
Dikemaskini: 4:16 AM

Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati bersalah membocorkan kertas peperiksaan Science 018, 028, 038 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014.

Naib Presiden Pekadin Simon Molubi berkata ini penting bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berulang selain memberi pengajaran kepada semua.

Pekadin juga berharap Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) selaku pihak yang bertanggungjawab dapat menjalankan siasatan rapi dan menyeluruh, dan seterusnya membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

"Mengurus peperiksaan awam UPSR bukanlah mudah. Banyak kos yang perlu digunakan terutama di Sabah dan Sarawak yang mempunyai sekolah yang jauh atau terpencil di pedalaman dan pengangkutan yang sukar.

"Tentu sekali kerajaan menanggung kerugian untuk mencetak semula kertas peperiksaan baharu dan mengurus peperiksaan yang tertangguh. Sebab itu, Pekadin menyarankan agar tindakan yang keras diambil demi menjaga integriti peperiksaan awam di negara ini," katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

Simon berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perkara itu di Tumpat, Kelantan semalam.

Muhyiddin dipetik sebagai berkata bahawa beliau dukacita kertas peperiksaan Science 018, 028, 038 bagi UPSR 2014, yang  sepatutnya diduduki calon hari ini, bocor sehingga terpaksa ditangguhkan ke 30 Sept ini.

Timbalan Perdana Menteri turut meminta maaf kepada calon dan ibu bapa mereka.

Lembaga Peperiksaan dalam kenyataan semalam mengumumkan kertas peperiksaan itu ditangguh setelah kandungan soalannya didapati bocor.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS