Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) bersama kira-kira 300 peneroka hari ini mengadakan sesi dialog dan menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Memorandum tersebut berhubung dakwaan ketidakadilan dan diskriminasi oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) terhadap peneroka.

Presiden ANAK Mazlan Aliman mendakwa penindasan yang dilakukan berkaitan perjanjian tanam semula dan pengurusan kebun, penafian insentif hari raya dan dividen FGVH, kadar perahan gred minyak kelapa sawit yang masih rendah serta diskriminasi terhadap peneroka yang tidak bersama FELDA.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat berharap aduan peneroka dalam memorandum itu, mendapat pembelaan daripada suruhanjaya itu.

"Memorandum ini kita hantar pada Suhakam berhubung ketidakadilan dan diskriminasi terhadap peneroka Felda.

"Perjanjian tanam semula menyebabkan peneroka terganggu dengan hutang dan penyelenggaraan kebun mereka.

"Suhakam juga dah janji akan adakan meja bulat dan jadi pemerhati di mahkamah nanti.  Jadi kita harap nasib peneroka nanti dibela," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum.

Memorandum itu diserahkan kepada Pesuruhjaya Suhakam James Nayagam.

Pada 7 Julai lalu, Najib mengumumkan pembayaran dividen akhir FGVH kepada peneroka Felda berjumlah RM72.9 juta kepada semua 112,635 warga peneroka seluruh negara.

   

Bagaimana pada 24 Julai lalu, kira-kira 50 peneroka Felda Gugusan Bera dan Rompin membuat laporan polis kerana mereka mendakwa dinafikan wang dividen FGV dan saguhati hari raya yang berjumlah hampir RM1,000.

Perkara itu disahkan oleh Felda apabila memutuskan mana-mana peneroka yang menyaman agensi tanah itu tidak akan mendapat dividen akhir FGVH daripada Tabung Amanah Peneroka dan wang saguhati hari raya.

Tindakan itu diambil bagi "menjaga kepentingan peneroka lain yang menyumbang kepada perkembangan Felda".

Sebelum itu, kumpulan peneroka itu berhimpun di perkarangan Menara Maju - yang menempatkan pejabat Suhakam - bagi menyatakan bantahan berhubung penindasan FELDA terhadap mereka.

Turut menyertai perhimpunan yang berlangsung kira-kira 15 minit itu, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang hadir memberi sokongan.

Peneroka juga mempamerkan kain rentang yang bertulis "Ya Allah, ya tuhan kami, bantulah kami menghadapi golongan yang zalim" dan melaungkan "tumbang FELDA".

Selain itu, Mazlan berkata beliau dan peneroka itu akan menghantar satu lagi memorandum berhubung dakwaan diskriminasi dan ketidakadilan FELDA terhadap peneroka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang ini.

Lihat Komen
ADS