Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) mencabar presiden syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Elias Kadir berdebat dengan pihak kesatuan bagi menjelaskan sebab pemecatan anggotanya dari syarikat tersebut.

Presiden RUM, Abdul Razak Md Hassan berkata debat itu juga bagi memberi peluang kepada Elias untuk menjelaskan sumbangannya kepada syarikat sebagai pengerusi KTMB.

"Saya cabar dia, kalau dia hebat sangat sebagai presiden KTMB mari debat secara terbuka berkenaan pembuangan pekerja.

“Saya ingin berdebat dengannya berkenaan apa yang telah dia buat sejak tempoh 2 Mei 2011," kata Abdul Razak dalam satu sidang media hari ini.

Beliau juga mendakwa Elias menyalahgunakan kuasa dan mengambil tindakan yang tidak bertamadun terhadap pekerja yang menjalankan tanggungjawab sebagai ahli kesatuan.

Katanya, pekerja berkenaan tidak harus dikenakan tindakan kerana bertindak selaras dengan perlembagaan kesatuan.

Campur tangan PM

Pihak RUM juga meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu berkenaan.

"(RUM) telah berusaha banyak kali untuk berjumpa dengan perdana menteri dan (RUM) sedang cuba sedaya upaya untuk menghantar memorandum berhubung isu ini demi menyelamatkan 700 orang pekerja yang terlibat dengan piket 9 Mei", katanya lagi.

Abdul Razak merujuk kepada tindakan KTMB memecat kakitangan yang terlibat dalam satu piket pada 9 Mei lalu.

Seramai seorang lagi menerima surat pemberhentian kerja hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 11 orang.

Selain itu, seramai 13 pemimpin kesatuan turut digantung kerja manakala 88 orang anggota lain menerima notis tunjuk sebab atas tindakan sama.

Piket itu bagi mendesak Elias melepaskan jawatan kerana didakwa menunjukkan prestasi yang kurang cemerlang sepanjang perkhidmatannya.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan reaksi Elias dan pihak pengurusan KTMB.

Lihat Komen
ADS