Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar kerajaan PAS Kelantan mengemukakan bukti bahawa kerajaan pusat “berhutang” bayaran royalti minyak kepada kerajaan Kelantan.

Katanya, BN bersedia untuk menjawab isu berkenaan sekiranya ia timbul dalam kempen pilihan raya kecil Pengkalan Kubor.

Menurut Muhyiddin, beliau yakin PAS akan menjadikan isu wang royalti minyak sebgai isu utama untuk mereka berkempen pada pilihan raya kecil DUN tersebut.

"Kita tahu itu (isu royalti minyak) akan jadi satu isu utama. Kita tak takut tapi sepatutnya mereka (PAS) ambil tindakan. Bukan hanya mencabar secara politik tetapi mereka perlu meneliti sebaiknya.

"Kita sebagai kerajaan BN tidak menipu rakyat. Jika PAS betul sebuah parti Islam, patut buat cara Islam.

“Jadi saya nak cabar PAS supaya memberi penjelasan dan kemukakan bukti yang kerajaan ada berhutang dengan Kelantan," katanya di Tumpat hari ini.

Pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghentikan bayaran royalti minyak kepada Kelantan sebaik pentadbiran negeri itu diambil alih oleh PAS pada 1990.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kemudiannya pada Ogos 2012 mengundang PAS untuk menyertai satu jawatankuasa untuk membincangkan mengenai bayaran royalti minyak pada Kelantan.

Pada masa itu, pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed turut menguar-uarkan bahawa perkara itu boleh diselesaikan sebelum pilihan raya umum ke-13, yang diadakan pada 5 Mei tahun lalu.

Pentadbiran Kelantan bagaimanapun hanya mampu menyatakan kekecewaan kerana wakil mereka masih belum mendapat apa-apa berita berhubung mesyuarat jawatankausa tersebut.

Usaha Kelantan untuk mendapatkan hasil minyak tersebut dijalankan melalui injuksi interlocutari ke atas Petronas untuk menghalang syarikat petroleum tersebut daripada membayar royalti kepada kerajaan persekutan atau ejennya.

Dalam permohonan tersebut, kerajaan Kelantan mengemukakan alasan bahawa hasil tersebut sepatutnya diperolehi kerajaan negeri.

Negeri di tangga kedua paling miskin di Malaysia itu sehingga kini kekal bawah pentadbiran PAS.

Lihat Komen
ADS