Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Polis kini menyiasat prosedur operasi standard (SOP) Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk mencari kebocoran yang berlaku dalam pengendalian soalan peperiksaan Ujian Pencapaian

Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng hari ini berkata polis sedang giat meneliti aspek itu dan sedang mengumpul keterangan daripada individu berkaitan.

"Polis masih dan sedang giat mengumpul keterangan serta meneliti SOP untuk melihat di mana kebocorannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan kebocoran itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan setelah murid menduduki peperiksaan itu pada Khamis manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 turut ditangguhkan sebelum mereka mengambilnya pada Khamis juga.

LPM menetapkan 30 Sept ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pengarah LPM Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu Dr Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas-kertas peperiksaan itu selesai.

Gan berkata polis telah memanggil tiga guru semalam untuk diambil keterangan berhubung insiden itu, menjadikan 10 individu telah diambil keterangan termasuk enam pegawai LPM dan seorang wartawan.

"Beri peluang kepada polis tumpu kepada siasatan dan harap orang ramai memberi bantuan jika ada maklumat dan salurkan kepada polis. Mana-mana pihak diminta jangan buat spekulasi," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS