Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AAB: Kemelut MB di Perlis, T'ganu berbeza dengan S'gor

Pakar Perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari menegaskan bahawa kemelut menteri besar Selangor kali ini berbeza dengan krisis jawatan itu di Perlis dan Terengganu pada 2008.

Beliau berpendapat Sultan Perlis dan Terengganu mempunyai hak untuk tidak menghiraukan surat presiden Umno ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan melantik menteri besar dari pilihan istana masing-masing ketika itu.

katanya, ini kerana ketika itu berlaku krisis selepas Umno yang tidak bermaya selepas pilihan raya umum kehilangan majoriti dua pertiga mereka di Parlimen dan lima negeri di tangan Pakatan Rakyat, memerlukan tindakan dari sultan.

"Saya memberikan 'benefit of a doubt' kepada sultan (Terengganu dan Perlis) buat keputusan. Walaupun tak ikut perlembagaan," tegasnya.

Beliau menegaskan demikian di forum 'Kemelut MB Selangor: Mampukah PR bertahan?' anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) di Kuala Lumpur malam tadi.

Menurut Aziz, di Perlis, sultan bertemu dengan ADUN yang memberi sokongan kepada Datuk Seri Md Isa Sabu yang bukan calon pilihan Umno dan berpuas hati beliau mendapat sokongan majoriti dewan undangan negeri.

Sementara itu di Terengganu, beliau berkata, sultan mempunyai hujah tersendiri menolak Datuk Seri Idris Jusoh dan melantik Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar.

"Tapi di Selangor Datuk Seri Wan Azizah (Wan Ismail) ada sokongan majoriti. Ada SD (akuan bersumpah) melampaui keraguan. Mengapa (masih) ditolak? Ini beza Selangor 2014 dengan Perlis dan Terengganu 2008," katanya.

Beliau turut berpendapat Tan Sri Khalid Ibrahim tidak boleh dilantik semula oleh sultan dalam keadaan sekarang kerana tiada sokongan majoriti dari Dewan Undangan Negeri Selangor.

"Khalid tak boleh dilantik sebab dia bukan dapat sokongan majoriti. Boleh lantik kalau lepas pilihan raya negeri nanti dia buat parti (politik) baru dan dapat sokongan majoriti.

"Tapi untuk senario sekarang tak boleh," tegas Aziz lagi.

Lihat Komen
ADS