Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Calon PAS: Penduduk tak kisah apa berlaku di S'gor

Calon PAS dalam  pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim yakin bahawa masalah dalaman yang melanda parti itu ketika ini, tidak akan menjejaskan sokongan pengundi di kawasan itu kepada PAS .

Walaupun perkara itu kini hangat diperkatakan, namun beliau percaya ia sedikit pun tidak memberi kesan terhadap penduduk di kawasan itu.

Menurutnya lagi, krisis Pakatan Rakyat berhubung pemilihan menteri besar Selangor juga tidak menjadi isu memandangkan penduduk tempatan "tidak ambil kisah" dengan apa yang berlaku di luar Pengkalan Kubor.

"Isu dalaman (PAS) tidak akan jejas pengundi. Isu dalaman hanya (berlaku di peringkat) dalaman. Lagipun penduduk tak kisah.

"Tak ada. Tak jejas. Semasa kempen pun di peringkat akar umbi mereka tak ada sentuh isu itu (MB Selangor). Yang di Selangor, di Selangorlah. Di Pengkalan Kubor yang penting rakyat Pengkalan Kuborlah," katanya ketika ditemubual Malaysiakini hari ini.

Selain itu, Wan Rosdi yang mesra dipanggil Abe Di berkata, beliau juga yakin mampu merampas kerus itu dari BN, memandangkan beliau telah lama berkhidmat sebagai penyelia DUN Pengkalan Kubor sejak 2009.

Menjawab soalan, setiausaha PAS kawasan Tumpat itu berkata, tidak menjadi masalah baginya untuk berdepan dengan calon BN, Mat Razi Mat Ail serta calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Ini kerana, Wan Rosdi berpendapat beliau telah lama mendekati rakyat kawasan itu sebelum diumumkan menjadi calon.

Malah, beliau berkata, walaupun tidak berkempen secara besar-besaran, perkara yang menjadi keutamaannya ialah mendekati penduduk setempat melalui pelaksanaan negeri berkebajikan.

"Saya meneruskan agenda sedia ada. Iaitu agenda negeri berkebajikan dengan menemui seluruh rakyat dan akan ketengahkan porgram kebajikan tanpa mengira petani atau nelayan. Strategi utama ialah mendekati rakyat

"Kita lawan dengan kerajaan pusat. Mereka dapat bantuan dari menteri-menteri. PAS kini berlawan dengan kerajaan Malaysia.

"Saya rasa tak nampak sangat (saingan yang sukar) sebab calon Bebas pada pilihan raya umum ke-13 dulu dia tak dapat undi yang besar. Saya juga tak rasa (berdepan dengan) cabaran yang besar dalam PRK ini. Inya-Allah (menang) sebab saya telah bertugas di DUN ini sejak 2009 lagi dan telah menemui rakyat di seluruh kampung," katanya.

Mengenai isu perlaksanaan hukuman hudud di Kelantan, Wan Rosdi berkata, perkara itu tidak berbangkit memandangkan pihak kerajaan negeri sentiasa memberi penerangan berhubung undang-undang Islam tersebut kepada masyarakat bukan Islam.

Katanya, rata-rata masyarakat Islam setempat faham tentang perlaksanaan undang-undang itu. l

"Isu hudud daripada dulu hingga sekarang kita akan sentiasa bawa. Bagi rakyat Pengkalan Kubor khususnya orang Islam, mereka tahu (tentang hudud) sebab di sini banyak pondok pengajian agama. Jadi mereka tahu tentang hukum hakam.

"Kalau yang bukan Islam, kita sentiasa beri penerangan tentang hudud bahawa ia untuk orang Islam. Orang bukan Islam tak ada masalah kerana hudud untuk orang Islam sahaja," katanya.

Lihat Komen
ADS