Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perwakilan mahu JK tatatertib 'tunjuk taring'
Diterbitkan:  Sep 17, 2014 6:25 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Perwakilan Dewan Pemuda PAS mahu Jawatankuasa Tatatertib parti itu supaya menunjukkan taringnya dengan mengawal tindak tanduk anggotanya mengikut perlembagaan parti.

Perwakilan Pemuda PAS Sri Gading, Khairul Rizal Arshad berkata jawatankuasa itu seolah-olah tidak berfungsi hingga gagal menyelesaikan masalah dalaman PAS yang berlarutan sejak akhir-akhir ini.

"Antaranya tindakan dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor yang mengkhianati parti, penubuhan Parti Kesejahteraan Ummah Malaysia (Pasma) dan kenyataan bercanggah antara PAS Pusat dengan Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang)," katanya ketika membahaskan usul memantapkan hubungan dengan komponen pakatan pembangkang pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Ke-55 di Kota Tinggi, hari ini.

Beliau berkata anggota perwakilan mendesak tindakan serta merta diputuskan pada Muktamar PAS di Batu Pahat esok supaya Jawatankuasa Tatatertib diperkemaskan lagi peranannya.

Sementara itu, perwakilan Pemuda PAS Kuala Kedah Mohd Rodzi Abu Bakar  ketika menyokong usul itu meminta supaya jawatankuasa itu dirombak semula dan merangkumi anggota pelbagai latar belakang.

"Keanggotaan jawatankuasa hendaklah dipilih melalui Muktamar PAS Pusat.

"Mereka yang mengganggotai jawatankuasa mestilah seorang yang arif dengan perlembagaan dan undang-undang parti kerana sokongan pasang surut terhadap PAS akan berlarutan sekiranya masalah dalaman tidak diselesaikan terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu,  Dewan Pemuda PAS mengumpul derma lebih RM7,800 bagi keluarga Mohd Lotfi Ariffin, yang meninggal dunia ketika berjuang di Syria.

Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda Pas Riduan Mohd Nor berkata kutipan dermabagi Mohd Lofti, bekas anggota PAS Kedah, adalah bagi membantu keluarga khasnya anak-anak beliau yang masih bersekolah.

Mohd Lotfi, 45, meninggal dunia selepas koma kerana kecederaan akibat serangan hendap ke atas militan di timur Hama, Syria pada 9 Sept lepas.

Seorang lagi rakyat Malaysia, Mohd Fadhlan Shahidi, 21, turut cedera dan tidak sedarkan diri sebelum mninggal dunia Ahad lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS