Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bekas menteri besar Selangor Muhammad Muhammad Taib berkata, Pakatan Rakyat harus menghantar lebih dari satu nama kepada istana berhubung isu menteri besar yang melanda Selangor pada masa ini.

Bekas ahli Umno itu berkata, jika istana mahukan lebih dari satu nama maka ia perlu dilakukan dengan segera.

“Ketiga-tiga parti perlu bertenang dan segera menghantar lebih dari satu nama untuk dipertimbangkan,” kata Muhammad.

Bercakap dalam sebuah forum berkaitan krisis MB Selangor di Karangkraf, Shah Alam, beliau turut menyangkal dakwaan yang Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak layak untuk memegang jawatan itu.

Muhammad juga menambah, isteri kepada ketua pembangkang itu lebih berkelayakan daripada kebanyakan bekas menteri besar sebelum ini.

“Beliau (Wan Azizah) ialah calon yang tepat untuk menjadi MB,” katanya.

Muhammad juga mengkritik orang luar yang cuba mencampuri urusan negeri tersebut tetapi beliau tidak menyebut siapa beliau maksudkan itu.

“Saya orang Selangor, ini negeri saya. Orang luar tidak perlu datang dan menuntut hak mereka di sini,” tegasnya.

Muhammad mengingatkan PAS bahawa mereka berisiko untuk kehilangan sokongan daripada pengundi Cina dan India ketika pilihan raya nanti.

Beliau juga tidak bersetuju jika Umno mahu bergabung dengan PAS.

“Kerjasama PAS-Umno adalah sesuatu yang tidak bagus. Kita mempunyai dua sistem parti di negara ini.

“Umno biar dengan BN dan komponennya yang lain, tetapi PAS biar kekal di dalam Pakatan bersama DAP dan PKR.

“Biarkan PAS bersama Pakatan dan Umno dengan komponennya. Kamu tidak suka salah satu antara mereka, kamu boleh pilih yang lain,” jelasnya.

“Jika orang Cina tak mahu mengundi kita (PAS), kita akan kalah kerana undi kita juga datang dari undi orang Cina dan India.

“Bila mereka (pengundi) datang, mereka akan datang sekali (berkelompok) tapi bila mereka pergi, mereka akan pergi sekali.

Sementara itu, pakar undang-undang, Abdul Aziz Bari yang juga salah seorang panel pada forum itu berkata, perjanjian air yang ditandatangani kerajaan negeri Selangor itu akan memberi kesan kepada kerajaan baru Selangor.

Ini kerana status Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menandatangani perjanjian air tersebut akan dipersoalkan.

“Perjanjian itu akan mengikat kerajaan yang baru nanti, tetapi perkara ini boleh dibawa ke mahkamah,” tambahnya lagi.

Beliau juga berkata, Khalid tidak boleh dianggap sebagai MB sementara kerana istilah itu hanya merujuk ketika situasi ketika atau sebelum pilihan raya.


NADIA OTHMAN wartawan pelatih di Malaysiakini .

Lihat Komen
ADS