Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Ahmad Yaakob berkata sayap parti itu mengambil sikap supaya konsep tahaluf siyasi perlu lebih diberi pencerahan tentang kefahamannya kepada kepimpinan dan anggota parti.

Menurutnya, tahaluf siyasi atau kerjasama politik PAS bersama Pakatan Rakyat "penting" memandangkan BN dan Umno sudah mulai takut dengan gabungan parti pembangkang.

"Bukan kaji semula tapi suara (daripada) perwakilan.

"Cuma kita mengambil sikap ia perlu diberi pencerahan kepada semua kepimpinan dan ahli supaya mereka benar-benar faham ruang lingkup dan (cara) kuat kuasanya tahaluf siyasi itu," katanya dalam sidang medianya selepas Muktamar Ulama PAS.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung terdapat suara perwakilan yang mahu tahaluf siyasi dalam Pakatan dikaji semula.

Malah, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din dalam ucapan perasmian muktamar sayap itu menyeru supaya Dewan Ulama memperhalusi semula tahaluf siyasi mereka dalam Pakatan Rakyat dalam "suasana politik yang gawat" ketika ini.

Beliau berkata kerjasama politik itu perlu diperhalusi memandangkan "setiap hari ada fitnah" yang dilemparkan kepada Majlis Syura Ulama, presiden PAS dan semua anggota PAS.

Tolak kebimbangan pada Kelantan

Ahmad yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan menolak kebimbangan Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat yang bimbang ketiadaan penglibatan Datuk Nik Aziz Nik Mat di negeri itu memberi kesan kepada negeri itu pada pilihan raya umum ke-14.

"Beliau tidak terlibat secara langsung di Kelantan. Itu pandangan beliau (Suhaizan). Bagi kita, kita meneruskan agenda yang kita persetujui bersama iaitu membangun bersama Islam.

"Dalam program itu kita, kita teruskan dan kita tambah perkasakan program membangun bersama Islam kepada merakyatkan pula membangunkan bersama Islam.

"Itu pembaharuan. Kita lebarkan lagi supaya kefahaman dan amalan membangun bersama Islam. Saya rasa tidak ada masalah, tidak ada kesan," katanya.

Lihat Komen
ADS