Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegur pimpinan dan anggota PAS yang merasakan cukup kuat dan bijak tetapi tidak sabar dalam perjuangan.

Katanya golongan itu sanggup bertindak dengan sewenang-wenang menyanggah dasar dan matlamat perjuangan parti.

"PAS pernah bersendirian dan bertahaluf dengan pihak lain dalam kerajaan dan tanpa kerajaan. Dalam semua keadaan ini PAS tidak pernah rugi, kerana kita sentiasa beristiqamah di atas dasarnya yang kukuh dan matlamatnya yang nyata.

"Hanya mereka yang beristiqamah bersama PAS sahaja yang selamat, mereka yang tidak istiqamah jatuh berguguran di sepanjang perjalanan kita.

"Maka jangan ada orang yang merasakan dirinya cukup kuat, tidak sabar dalam perjuangan, merasa sangat bijak dan boleh sewenang-wenang menyanggah dasar dan matlamat perjuangan kita," katanya.

Katanya, sejak PAS ditubuhkan parti itu berdepan pelbagai ujian dan menempa pengalaman menjadi parti yang pernah bersendirian dan pernah menjadi kuat sehingga pernah menyertai kerajaan pusat dan memerintah kerajaan negeri.

Beliau yang juga MP Marang berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar bertajuk "Terus Beristiqamah" dalam Muktamar PAS di Batu Pahat hari ini.

Menurutnya lagi selain menghadapi kesulitan menuntut demokrasi yang dianggapnya tempang dan tidak adil, PAS juga perlu membersihan diri daripada "anasir hipokrit" daripada individu yang tidak sabar dan tidak istiqamah itu.

"Cabaran ini semua wajib dihadapi dengan istiqamah dan bersabar dengan penuh kebijaksanaan.

"Perjalanan yang sangat mencabar ini, sebenarnya membersihkan Jamaah Islam seperti PAS daripada anasir hipokrit dan yang lemah imannya, dari individu yang tidak sabar dalam tindakan sehingga tidak istiqamah dalam perjuangan ini," katanya.

Dalam ucapannya juga, Abdul Hadi berkata parti itu tidak menjadikan rakyat yang lemah sebagai mangsa untuk mendapat kuasa atau sama ada kerana ingin menang dengan gopoh.

"Sehingga sanggup melakukan apa sahaja, walau pun rakyat yang lemah menjadi mangsa ditipu, dibeli dan dikacau atau tanah air ini menjadi bahtera yang ditenggelamkan," katanya.

Lihat Komen
ADS