Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata sehingga kini tidak berlaku pelanggaran dasar dalam tahaluf siyasi yang dibentuk dalam Pakatan Rakyat.

Menurutnya, PAS mempunyai syarat yang longgar dalam Pakatan apabila setiap parti boleh menganut ideologi mereka masing-masing dan beliau menghormati dan memahami antara satu sama lain.

 

"Sehingga ini, apa yang saya faham tidak ada lagi berlaku (pelanggaran) perkara dasar. (Pelanggaran) perkara dasar belum lagi berlaku.

"Kita mempunyai satu prinsip umum iaitu dukung demokrasi, wujud keadilan untuk semua. Ini perkara sama.

"Tiada percanggahan antara satu sama lain," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar di Muktamar PAS di Batu Pahat hari ini.

Beliau menjawab soalan pemberita sekiranya beliau melihat PKR dan DAP melanggar dasar tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat.

Ia susulan ucapan timbalan mursyidul am PAS Datuk Haron Din semalam yang menyeru agar Dewan Ulama PAS meneliti sama ada kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat perlu diteruskan demi mengelakkan fitnah ke atas pemimpin utama parti Islam itu.

Haron berkata, PAS perlu mengambil jalan terakhir dengan keluar dari Pakatan sekiranya syarat kerjasama itu tidak dapat dipulihkan.

Masalah hubungan akan pulih

Ditanya berhubung usaha penyelesaian kemelut pelantikan menteri besar di Selangor, Abdul Hadi berkata ia terpulang kepada Sultan untuk memilih memandangkan semua parti dalam Pakatan Rakyat mengemukakan pandangan mereka.

"(Hal) ini terpulang kepada sultan. Semua pihak mengemukakan pandangan mereka. Sultan yang akan menentukan," katanya yang yakin hubungan dalam Pakatan dapat dipulihkan jika kemelut itu dapat diselesaikan.

Berhubung dakwaan kononnya hubungan beliau dan timbalannya Mohamad Sabu renggang, hal demikian mengundang gelak ketawa Abdul Hadi.

"Bagaimana tak ngam (rapat), boleh duduk dekat," katanya yang mengundang ketawa kecil Mohamad yang berada di sebelahnya.

"Kami berdua-duaan," celah Mohamad Sabu, sementara Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata: "Lepas tengok, barulah percaya."

Lihat Komen
ADS