Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Berjongkang-jongkit' dengan Umno juga perlu ditegur

Perwakilan Perak Noh Ahmad bukan sahaja menggesa Pakatan Rakyat diperkukuhkan, malah mahu konsep PAS For All tidak dianggap sebagai "slogan kosong" untuk memenangi hati rakyat.

Menurutnya, konsep PAS For All perlu dalam usaha menyelamatkan orang Melayu daripada "dogma dan khurafat" Umno bahawa parti itu sahaja yang boleh menyelamatkan kaum itu.

"Pada pilihan raya umum ke-13 ia ada hasilnya. Kita menang dengan beberapa negeri dan kerusi.

"Jadi kami berharap orang pantai timur memahami realiti di pantai barat. Kita tidak kata kemenangan ditentukan oleh satu pihak.

"Tetapi sejarah membuktikan masyarakat Melayu sangat kuat dengan dogma dan khurafat bahawa Umno sahaja yang membela dan menyelamatkan mereka," katanya.

Kawasan pantai timur khususnya di Kelantan dan Terengganu majoritinya didiami kaum Melayu berbanding di pantai timur.

Beliau berkata demikian menyampaikan ucapan terima kasih dan membahas usul ucapan dasar presiden bertajuk "Terus Beristiqamah" dalam muktamar PAS di Batu Pahat hari ini.

Menurut Noh lagi, keputusan Majlis Syura Ulama yang mahu PAS bertahaluf dalam Pakatan Rakyat sebagai medan untuk menyampaikan Islam.

Menurutnya lagi, sebelum ini masyarakat bukan Islam mengenali Islam itu melalui kaca mata perlembagaan sehingga dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah tertentu termasuk isu perebutan anak.

"Tanggungjawab PAS untuk menyelesaikan dengan menjelaskan Islam, bahawa ini (penyelesaian) dalam Islam.

'Berjongkang-jongkit dengan Umno'

"Pakatan Rakyat Perak mengadakan dialog dengan NGO (bukan Islam) dan mereka ingin sangat mengenali apa kehendak Islam (berhubung isu itu).

"Selagi kita terkongkong dengan pandangan Islam melalui kaca mata Umno, selagi itu mereka tidak dapat lihat 'PAS for All'," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa golongan ulama dalam PAS turun padang untuk mengadakan pertemuan dengan bukan Islam bagi menjelaskan pandangan dan penyelesaian berhubung isu yang terlibat.

Sementara itu, Perwakilan Melaka Yuhaizad Abdullah berkata aspirasi rakyat yang mahukan PAS bersama Pakatan Rakyat sebagai satu-satunya cara untuk keluar daripada "belenggu" Umno dan BN.

"PAS meninggalkan Pakatan Rakyat bermaksud meninggal hasrat dan aspirasi rakyat kepada PAS For All menjadi PAS for PAS , Rahmat Untuk Semua akan menjadi Rahmat untuk PAS.

"Tajuk tema muktamar kita 'Terus Beristiqamah, kita boleh teruskan, tetapi lebih malang, jika rakyat terus dibelenggu oleh Umno dan BN," katanya.

Beliau juga menegur kumpulan ulama dalam PAS dengan melabel ahli PAS dengan label antaranya seperti 'munafik haraki', pengkhianat, akidah tidak sahih, liberal, parasit'.

"Mereka yang menyokong Pakatan Rakyat, jangan mudah dituduh sebagai pengkhianat. Mereka yang berjongkang-jongkit di rumah Umno harus ditegur. Kerana setiap ahli kita ada nilai.

"Ulama juga jangan muda menghalau ahli keluar daripada PAS. Janganlah mereka yang berpegang kepada keputusan jawatankuasa PAS, itu dipandang serong dan dipersalahkan.

"Mempertahankan keputusan jawatankuasa PAS, beerti mempertahankan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan seluruh AJK PAS pusat," katanya.

Sementara itu, perwakilan Selangor Sallehen Mukhyi ( kanan ) berkata menegur rakan dalam Pakatan Rakyat supaya menghormati setiap keputusan yang dibuat oleh PAS khususnya berhubung isu menteri Besar Selangor.

Beliau yang juga exco Selangor berkata ketiga-tiga parti dalam gabungan pembangkang itu perlu benar-benar "berpakat" dan "tidak perlu membawa masalah yang dibebankan ke atas rakan dalam Pakatan".

"Kami akan menerima nasihat terus daripada pimpinan PAS Pusat dan dari Majlis Syura Ulama. Terima kasih daripada keputusan PAS supaya kami bertahan ada kebijaksanaannya," katanya.

Bagaimanapun, Sallehen mendedahkan beliau dan rakan-rakan exco PAS menerima cemuhan dalam melaksanakan tugas exco selepas keputusan itu dibuat, dan mereka menempuhinya dengan sabar dan memohon pertolongan daripada Allah.

Beliau juga menegur ahli PAS Supaya menunjukkan akhlak yang baik dan menjaga adab jemaah sekalipun tidak bersetuju dengan keputusan kepimpinan.

Lihat Komen
ADS