Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Muktamar PAS sebulat suara meluluskan usul mendesak kerajaan segera memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Muktamar juga menuntut akta baru yang bakal digantikan perlu melalui proses rundingan awam dan melalui Jawatan Khas Parlimen supaya "tidak menggantikan yang buruk kepada yang lebih buruk atau seumpamanya".

Usul daripada Jawatankuasa PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat itu dibacakan oleh MP Parit Buntar Datuk Mujahid Yusof dalam muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat hari ini.  

"Kebebasan bersuara menjadi satu jenayah di negara yang berbangga dengan bahtera merdeka sedangkan mereka terus mewarisi akta lapuk yang mendefinisikan hubungan rakyat dan kerajaan seperti hubungan penjajah dan yang dijajah.

"Sebagaimana Akta Hasutan juga secara substantifnya mempunyai tahap pendakwaan yang rendah kerana ia tidak memerlukan niat untuk menentukan pengertian hasutan begitu juga ia tidak memerlukan bukti kesan sesuatu ucapan atau penulisan kepada suasana huru-hara atau tindakan fizikal," kata Mujahid.

Menurutnya lagi, akta tersebut menodai kebebasan memberi pandangan dan pendapat sehinggakan masyarakat tidak terlepas dari cengkaman akta itu dan mereka berasa tidak selesa apabila hak bersuara telah dirampas.

"(PAS) menginsafi betapa penguatkuasaan Akta Hasutan telah menutup ruang perbincangan yang sihat ke atas tindakan kerajaan Malaysia yang memberi kesan besar kepada rakyat Malaysia.

"Apabila suara golongan akademik dianggap sebagai ancaman dan apabila suara kritikan ahli parlimen dianggap tidak setia kepada negara dan apabila wartawan yang melaporkan berita dijadikan sasaran maka malapetaka pastinya akan menimpa negara ini," katanya.

Mujahid juga berkata muktamar juga merakamkan solidariti bersama mangsa akta itu dan keluarga yang terlibat dan menyatakan sokongan kepada usaha individu, gerakan sivil dan parti politik yang menggerakkan Gerakan Mansuhkan Akta Hasutan.

Muktamar itu juga menyeru rakyat menyokong gerakan ini demi memelihara perpaduan nasional dan membela kebebasan bersuara di Malaysia.

Lihat Komen
ADS