Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis rakam kenyataan Edmund Bon
Diterbitkan:  Sep 20, 2014 3:00 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

Polis merakam kenyataan peguam, Edmund Bon hari ini berhubung satu pandangan yang disiarkan satu portal berita yang didakwa berbaur hasutan.

Peguam kepada Edmund Bon, Amer Hamzah berkata siasatan itu dijalankan oleh seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kepala Batas.

"Ia berlangsung dalam masa kurang dari sejam dan ia berlangsung dalam suasana yang baik kerana beliau sanggup datang ke sini.

"Beliau (Edmund) ditanya tentang kenyataannya sebelum ini serta isi kandungan artikel yang disiar The Malaysian Insider," kata Amer.

Polis merakam kenyataan Bon pagi ini di pejabat firma anak guamnya, Bon Advocates di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur.

Laporan polis terhadap Bon sebelum ini dibuat di sebuah balai polis di Pulau Pinang.

Pandangannya yang menjadi siasatan polis itu disiarkan portal The Malaysian Insider pada 20 Januari lalu.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Sultan Kedah yang merupakan Yang DiPertuan Agong bertitah bahawa orang bukan Islam dilarang daripada menggunakan kalimah 'Allah'.

Terdahulu, firma guaman Bon menerusi akaun twitter memaklumkan bahawa keterangan Bon dirakam oleh ASP Zaidi Rahman mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah.

Amer turut mempertahankan anak guamnya itu yang didakwa hanya memberikan pandangan perundangannya berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan.

Amer Hamzah dalam kenyataan kepada Malaysiakini berkata, pandangan itu juga selari dengan satu keputusan mahkamah sebelum ini.

"Edmund Bon hanya memberikan pandangan undang-undang berhubung status fatwa sama ada ia mengikat atau tidak kepada masyarakat bukan Islam.

"Dalam memberikan pendapat dan pandangannya, Encik Edmund Bon berlandaskan keputusan Mahkamah Persekutuan iaitu kes Sulaiman Takrib melawan kerajaan Terengganu," katanya dalam rakaman itu.

Lihat Komen
ADS